ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MLM CIUM DUIT : "INI SEMUA KHURAFAT & MENGARUT" - MUFTI PERAK

Tuesday, 26 May 2015

MLM CIUM DUIT : "INI SEMUA KHURAFAT & MENGARUT" - MUFTI PERAK


KUALA LUMPUR: Upacara cium duit yang diadakan sebuah syarikat jualan langsung (MLM) yang dikatakan dapat merubah hidup ahlinya menjadi jutawan disifatkan khurafat dan mengarut semata-mata.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, ini semua perangkap dan taktik syarikat MLM itu untuk memujuk ahli-ahli baharu untuk menyertai mereka.

"Mengarut semua ini, jika percaya ia boleh membawa syirik dan menyesatkan kepercayaan umat Islam.

"Mana boleh kaya dengan cium duit, tidak ada duit yang akan turun dari mana-mana atau elemen semangat duit yang dikatakan MLM berkenaan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Dr Harussani mengulas beberapa keping gambar di laman Facebook yang memaparkan kegiatan sekumpulan orang ramai mencium duit di sebuah program syarikat MLM yang mengundang pertikaian banyak pihak.

Ada pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan itu sebagai syirik selain melangar ajaran Islam.

Khurafat ialah kepercayaan karut atau tahyul yang diada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku.

Sementara syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Dalam pada itu kata Dr Harussani, orang ramai turut diminta tidak terpengaruh dengan taktik MLM yang menggunakan wang tunai sebagai umpan menarik ahli baru.

"Kalau hendak duit yang banyak, belilah saham yang betul jalannya, jaminan keuntungannya dan tidak tertipu pada masa hadapan.

"Jangan buat karut dengan percaya amalan sebegini. Cium duit kononnya nanti duit datang seperti yang diajar MLM sebegini tidak boleh dipercayai sama sekali," ujarnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda yang mendedahkan lebih 60 peratus penjawat awam terutamanya melibatkan golongan muda di negara ini menjadi mang­sa penipuan pelbagai kes sejak beberapa tahun lalu.

Kata Azih, antara kes penipuan tersebut termasuk pembe­lian rumah tidak siap, kad kredit, sindiket gores dan menang serta kegiatan MLM.

Menurutnya, faedah yang dimiliki oleh penjawat awam seperti kemudahan membuat pinjaman peribadi di bank dan urusan dokumentasi menyebabkan golongan tersebut sering menjadi sasaran penipuan.
astroawani

No comments:

Post a Comment