ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TRANSAKSI MEPS DI ATM HANYA 50 SEN BERMULA JUN

Thursday 21 May 2015

TRANSAKSI MEPS DI ATM HANYA 50 SEN BERMULA JUN



ATM Meps

KUALA LUMPUR – Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS), penyedia rangkaian antara bank, pada Rabu menetapkan siling bagi fi perkhidmatan Pemindahan Dana Antara Bank (IBFT) tepat masa pada 50 sen.

Ia merupakan pengurangan sebanyak 50 peratus kepada 88 peratus daripada julat fi semasa antara RM1 dan RM4.

Siling fi baharu itu, adalah bagi transaksi di ATM, Internet dan saluran Perbankan Mudah Alih, akan dilaksanakan oleh semua bank yang menyertai perkhidmatan MEPS berkuat kuasa 1 Jun ini.

Selain pengurangan fi, had pindahan juga akan dinaikkan daripada RM5,000 ketika ini kepada RM10,000 pada 30 Jun, 2015 dan dinaikkan lagi kepada RM30,000 pada awal tahun depan.

“Ini ternyata berita baik bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kepada perniagaan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Zulkanain Kassim dalam kenyataan.

“Pelanggan runcit, komersial dan korporat, termasuk PKS akan mendapat manfaat yang besar daripada pengurangan fi dan kenaikan had pindahan itu,” katanya.

Inisiatif terkini MEPS itu merupakan insentif kepada orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pemindahan dananya yang selamat, mudah dan pada tepat masa.

Perkhidmatan ini juga boleh didapati melalui ATM, yang akan memenuhi keperluan mereka yang belum mengguna pakai perkhidmatan perbankan dalam talian.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim berkata industri pembayaran mula membuat lonjakan yang signifikan, dengan pelaksanaan pengurangan fi IBFT dan penyelarasan siling fi oleh MEPS.

“BNM mengalu-alukan inisiatif proaktif itu oleh institusi kewangan dan organisasi seperti MEPS untuk memacu peralihan kepada pembayaran elektronik,” katanya.

Menjelang 2020, Muhammad berkata BNM menyasarkan untuk meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran per kapita daripada 72 kepada 200, dan mengurangkan cek daripada 177 juta kepada 100 juta setahun.

IBFT ialah perkhidmatan e-pembayaran yang membolehkan pelanggan melaksanakan pemindahan dana antara bank dengan cepat dan selamat.

Pelanggan dijamin pindahan yang selamat dengan butiran penerima dipaparkan untuk pengesahan pengirim.

Selepas pengesahan, akaun penerima dikreditkan dengan serta-merta dan dana juga disediakan dengan segera.

IBFT turut termasuk pembayaran kad kredit dan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan bagi kemudahan pelanggan.

Dengan kemudahan itu, pelanggan tidak perlu lagi bimbang mengenai salah pengkreditan atau terlepas tarikh akhir pembayaran.

Selain itu, tidak perlu lagi mengeluarkan cek atau menggunakan mesin deposit tunai untuk membuat pindahan atau bayaran.

IBFT menunjukkan sokongan kukuh kepada aspirasi Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan penggunaan e-pembayaran di negara ini, menggalakkan penerimaan yang lebih luas dan penggunaan perkhidmatan tersebut. 
BERNAMA

No comments:

Post a Comment