ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SULTAN KELANTAN BERKENAN SERTAI WALKATHON D'RAJA

Thursday 7 May 2015

SULTAN KELANTAN BERKENAN SERTAI WALKATHON D'RAJA

Sultan Kelantan berkenan sertai Walkathon D'raja

KOTA BHARU - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan bersama-sama kira-kira 30,000 rakyat menyertai program Walkathon D'Raja Kelantan (Walk With Me 2015) di sini, hari ini.

Peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan penuntut universiti, kakitangan kerajaan dan swasta serta orang awam, datang seawal 4 petang bagi menyertai program walkathon sejauh 6 kilometer itu bermula di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.

Kebanyakan peserta mengenakan pakaian seragam masing-masing yang berwarna-warni sambil menikmati hiburan serta menyaksikan pameran yang disediakan, sementara menunggu acara kemuncak.

Sultan Kelantan tiba kira-kira 4.50 petang, sebelum melangsungkan majlis pelepasan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Baginda bersama-sama semua peserta menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra seterusnya ke Pasir Pekan sebelum menamatkan acara dengan kembali ke stadium berkenaan.

Peserta yang menyertai program walkathon kali keempat itu yang dijadikan acara tahunan, begitu teruja kerana berpeluang melakukan aktiviti riadah bersama Sultan Kelantan.

Seorang peserta Mohd Yusof Bakar, 48, berkata beliau datang seawal 3.30 petang kerana tidak ingin melepaskan peluang keemasan itu.

"Tahun ini kali kedua saya menyertai acara Walk With Me. Bukan mudah untuk bersama Tuanku Sultan dalam aktiviti santai sebegini," katanya yang menetap di Kampung Peringat di sini.

Sementara itu, pengerusi program berkenaan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim berkata penganjuran acara itu adalah bagi mendekatkan Sultan Muhammad V dengan seluruh rakyat Kelantan.

"Ia juga bagi menggalakkan rakyat negeri ini mengamalkan gaya hidup sihat selain menjadi tarikan pelancongan negeri Kelantan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dana yang dikumpulkan melalui penganjuran program berkenaan akan disalurkan ke Tabung Bencana D'raja Kelantan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama rakyat yang menjadi mangsa banjir luar biasa pada Disember 2014.

Tabung yang dilancarkan pada 1 Mei lepas itu adalah atas keprihatinan Sultan Kelantan bersama Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi. 
Bernama

No comments:

Post a Comment