ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KELANTAN MAHU PASTIKAN PIALA FA KEKAL DI MALAYSIA

Friday 22 May 2015

KELANTAN MAHU PASTIKAN PIALA FA KEKAL DI MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Kekalkan trofi Piala FA di Malaysia. Itu tekad tinggi disuarakan pengurusan dan pemain pasukan Kelantan menjelang pertembungan final menentang kelab negara jiran, Lions XII di Stadium Bukit Jalil, esok. 

Sambil menyatakan skuad bimbingannya bukan pilihan seperti dicanang media massa, pengendali Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan pertembungan dengan Lions XII membabitkan maruah dan berharap seluruh Malaysia berada di belakang mereka.

"Kita mahu Piala FA kekal di Malaysia. Bagi saya, kami mewakili semua pasukan dalam Malaysia dan amat memerlukan sokongan seluruh rakyat negara ini untuk menyokong The Red Warriors esok." Mengulas persiapan pasukannya, bekas pengendali Kedah ini berkata semua pemainnya sudah mengharungi latihan secara terperinci bagi menghadapi Lions XII yang terkenal dengan semangat berpasukan dan komitmen tinggi.

"Mereka bukan pasukan underdog (bukan pilihan). Mereka adalah skuad pelapis kebangsaan Singapura dan untuk perlawanan ini, beberapa pemain mereka adalah pemain kebangsaan.

"Kerana itu, kami tidak boleh pandang rendah mereka dan akan memberikan yang terbaik," katanya yang mahu perlawanan final nanti ditentukan dalam 90 minit perlawanan.

Bagi kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi, final kali ini memberi peluang buatnya untuk membuktikan kembali kemampuannya selepas mengharungi aksi terumbang ambing, musim ini.

"Saya sedar dengan perkara ini jadi ini memang peluang terbaik buat saya untuk membuktikan diri. Kami akan buat yang terbaik dan berharap Piala FA kekal di sini," katanya.

Kelantan mara ke final selepas mengetepikan penyandang juara, Pahang di separuh akhir dengan keputusan agregat 3-1 hasil kemenangan 3-1 di laman sendiri, minggu lepas.

Kelantan ketika ini berada di kedudukan dianggap tidak memuaskan dalam saingan Liga Super apabila berada di kedudukan ketiga tercorot liga di belakang ATM dan Sime Darby.

No comments:

Post a Comment