ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "SAYA TIDAK DENDAMI AYAH" !!!

Monday 3 November 2014

"SAYA TIDAK DENDAMI AYAH" !!!


Kota Bharu: “Saya tidak menyimpan dendam kepada bapa, malah saya anggap ini sebagai pengajaran,” kata kanak-kanak berusia 12 tahun yang dibelasah bapa dengan kabel brek basikal kerana mencuri telefon bimbit sepupunya, Khamis lalu.


Selain itu, mangsa turut dicekik dan dihempas ke meja oleh bapanya yang berusia 40 tahun menyebabkan dagu cedera.

Mangsa berkata, tindakan bapanya itu untuk memberi pengajaran supaya dia tidak melakukan kesalahan sama.

“Saya mengaku mencuri telefon bimbit itu, namun tidak menyangka bapa akan bertindak sedemikian.

“Ini satu pengajaran yang sangat berguna dan saya sudah insaf serta berjanji tidak akan ulangi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Surau Kota, di sini, semalam.

Metro Ahad semalam melaporkan seorang bapa hilang pertimbangan apabila memukul anaknya menggunakan kabel brek basikal, mencekik leher dan menendang kaki serta tangan sehingga cedera selepas mendapati anaknya mencuri telefon bimbit sepupu dalam kejadian di Pasir Hor.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, oleh neneknya.

Menceritakan kejadian itu, mangsa berkata, ketika itu dia bersama ahli keluarga berada di rumah neneknya sebelum ibu menerima panggilan telefon dari sepupunya memaklumkan dia kehilangan telefon bimbit.

“Saya mengaku mencuri telefon bimbit kerana disuruh abang sebelum bapa berjanji menyerahkan sendiri telefon itu pada jam 10.30 malam,” katanya.

Dia berkata, sebaik telefon diserahkan, bapa mengheretnya masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu sebelum merotan belakang badan dan memukul paha dengan kabel brek basikal.

“Saya meraung meminta ampun, namun bapa terus memukul sebelum terdengar nenek dan bapa saudara datang sambil memanggil saya keluar.

“Sebaik mendengar panggilan nenek, bapa berhenti dan saya berasa lega selepas melihat nenek muncul,” katanya.

Sementara itu, nenek mangsa berkata, dia terkejut selepas mendapati cucunya itu dipukul hingga lemah di dalam rumah.

“Saya sedih melihat dia separuh mati berada di dalam tandas dalam keadaan tidak berbaju dan tanpa memakai seluar sambil mengadu sakit.

“Dengan bantuan anak, saya mengangkat cucu membawanya ke klinik berdekatan sebelum dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut,” katanya cucunya itu dirawat selama dua hari sebelum dibenarkan keluar kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan polis kini sedang memburu suspek.
hmetro

No comments:

Post a Comment