ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PELAJAR PEREMPUAN 16 TAHUN DITAHAN DIPERCAYAI BUANG JANIN

Friday 14 November 2014

PELAJAR PEREMPUAN 16 TAHUN DITAHAN DIPERCAYAI BUANG JANIN


JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di rumahnya di Seri Alam, dekat sini, petang Khamis susulan penemuan satu janin perempuan pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, janin yang cukup sifat dan dianggarkan berusia 18 minggu itu dijumpai di dalam kotak di bawah rimbunan pohon buluh di tepi perhentian bas berhampiran kawasan Tanah Perkuburan India, di Jalan Kebun Teh, pada pukul 11 pagi Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan rapi, polis berjaya mengesan suspek yang disyaki ibu kepada janin tersebut dalam tempoh empat jam dan menahannya untuk membantu siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati remaja perempuan itu mengandung akibat persetubuhan haram dan menggugurkan kandungannya di sebuah hospital swasta di bandar raya ini, katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang bayi secara sulit.

Sulaiman turut meminta mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan kes ini dengan menghubungi talian hotline 07-2218999.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa dan keluarga agar sentiasa memberi perhatian dan pemantauan yang berterusan terhadap anak-anak gadis yang sedang meningkat usia sama ada dari segi pergaulan mahupun tingkah laku di rumah.

Beliau berkata, pergaulan bebas boleh mengundang perbuatan terkutuk berlaku sehingga boleh mencemar maruah keluarga.

No comments:

Post a Comment