ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SALAM TERAKHIR SEORANG SUAMI !!!

Monday 10 November 2014

SALAM TERAKHIR SEORANG SUAMI !!!


Kuala Terengganu: “Terasa berat saya hendak melepaskan tangan ketika bersalam dengannya pagi tadi (semalam) dan selepas kejadian baru sedar ia salam terakhir daripada suami,” kata Azila Rosli, 38.

Dia adalah isteri kepada Ahmad Mahyuddin Mohammad, 30, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 135, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung FELDA Belara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Belara berkenaan memandu Proton Saga dari rumahnya di Kampung Tok Jiring, di sini menuju ke sekolah berseorangan sebelum bertembung dengan Honda City dari arah Setiu menuju ke Kuala Terengganu sebaik melepasi selekoh Kampung FELDA Belara terbabit.

Akibat insiden itu, lelaki lingkungan 30-an yang memandu Honda City parah di bahagian kaki dan badan manakala guru berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Menurut Azila yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain di Maras, di sini, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi kenalan suami memaklumkan kemalangan menimpa pasangannya itu dan bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, saya lihat tubuh suami terbujur kaku di dalam kenderaan polis.

“Saya kuatkan semangat dan cuba menenangkan tiga anak berusia dua hingga lima tahun yang belum mengerti pemergian ayahnya.

“Saya sebak apabila hasrat arwah untuk menghadiri usrah dengan saya dan anak minggu ini tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Guru Besar SK LKTP Belara Mat Saat Ibrahim berkata, arwah adalah seorang yang disayangi murid dan banyak berjasa kepada sekolah.

Menurutnya, pihaknya berharap keluarga arwah tabah menerima ketentuan Ilahi dan meminta semua kenalan mendoakan ketenangan arwah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
hMetro

No comments:

Post a Comment