ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES RAYUAN LIWAT II : PENDAKWA RAYA SELESAI BERI HUJAH, PROSIDING DITANGGUH KHAMIS INI

Tuesday 4 November 2014

KES RAYUAN LIWAT II : PENDAKWA RAYA SELESAI BERI HUJAH, PROSIDING DITANGGUH KHAMIS INI


PUTRAJAYA : Ketua Pendakwa raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini menjelaskan pasukannya sudah menjawab hampir keseluruhan hujah dibangkitkan peguam bela berkaitan kehadiran DNA perayu dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau turut mengakui pendakwa raya terpaksa mengambil masa panjang untuk memberi keterangan balas sebagai membuktikan kewujudan DNA itu.

"Saya rasa saya sudah jawab cukup bahawa terdapatnya DNA tertentu yang ada sangkutan dengan perayu (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Bukan satu atau dua, tapi ada empat, lima DNA yang bersangkutan dengan perayu, yang diperoleh daripada bukti berasingan, ada bukti dari lokap, ada juga dari seluar dalam Mohd Saiful," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media di hadapan Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman di sini sejurus selesai prosiding rayuan kes liwat Anwar yang sehingga kini sudah memasuki hari ke enam.

Dalam hujah balasnya juga, Shafee berkata, beliau turut memberikan beberapa contoh kes yang boleh dijadikan rujukan kepada hakim.

"Kita bandingkan dengan kes dan material yang sudah ada, umpamanya kita sudah bagi tahu mahkamah mengenai kes ini (liwat), DNA hanya dua tiga hari dilengahkan.

"Ada kes di Australia, (Datuk Seri) Gopal (Sri Ram) juga tahu, seorang wanita yang dirogol kemudian dibunuh, di mana cuaca di sana sama macam kita, tropika... ada waktu panas juga. Selepas 13 tahun setengah, polis dapati air mani telah dipancutkan di atas tuala, (ketika itu kehadiran) DNA masih dapat ditimbulkan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi adalah kes liwat membabitkan seorang ahli politik di India, di mana prosidingnya hampir serupa dengan kes Anwar, akhirnya telah memberi kemenangan kepada pasukan pendakwa raya.

Ditanya mengenai bila keputusan rayuan ini dijangka diketahui, peguam kanan itu berkata ia terserah kepada ketetapan panel lima hakim itu.

"Keputusan mungkin bukan Jumaat, tapi saya tidak terkejut, mungkin Jumaat, mungkin Isnin minggu depan," katanya.

Sementara itu, peguam bela, Ram Karpal Singh ketika ditemui berkata, pasukannya akan memulakan hujah balas pendakwa raya Khamis ini dan optimis mampu menjawab beberapa perkara dibangkitkan pasukan Shafee itu.

"Ya... kita akan jawab. Kalau tahap ini mungkin Khamis boleh habis (hujah peguam bela), hanya keterangan saintifik DNA yang perlu dijawab," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui turut menzahirkan rasa terima kasih atas komitmen dan keterbukaan panel lima hakim yang telah memberi ruang seluasnya kepada kedua-dua pihak untuk menyampaikan hujah masing-masing.
Bernama

No comments:

Post a Comment