ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AZMI DAKWA TIDAK KENAL FAEKAH

Tuesday 4 November 2014

AZMI DAKWA TIDAK KENAL FAEKAH


SHAH ALAM: "Saya tidak kenal dia (Faekah)". Demikian jawapan ringkas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Setiausaha Politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin pada Ahad.

Sebaik sahaja memberi jawapan tersebut, Azmin bertindak beredar selepas menjawab beberapa pertanyaan media mengenai Pelan Tindakan Denggi Negeri Selangor 2014 dan Program Gotong-Royong Mega 2014: Terjah dan Musnah Aedes Negeri Selangor yang dihadirinya di sini pada Isnin.

Faekah dan Azmin didakwa tidak sehaluan dan sering mengecam antara satu sama lain sebelum ini.

Azmin dikatakan tidak 'sebulu' dengan Faekah kerana setiap keputusan yang ditentukan Abdul Khalid semasa menjadi menteri besar banyak dipengaruhi wanita terbabit.

Pada Ahad, Faekah meminta pemimpin PKR berhenti mengganggu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Faekah melontarkan amaran itu berikutan kenyataan ahli PKR cabang Bandar Tun Razak mendesak Khalid melepaskan jawatan berkenaan.

"Saya menggesa pimpinan PKR di semua peringkat, khususnya di Bandar Tun Razak supaya menghentikan sikap rakus dan jahat mereka terhadap Khalid.

"Tidak cukupkah dengan tohmahan jahat selama ini, diikuti pula dengan pemecatan beliau dari parti hingga membawa kepada Khalid melepaskan jawatan MB Selangor?," katanya.

Malah Faekah turut mengecam tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR  yang menghentikan peruntukan kawasan DUN Pelabuhan Klang dan memecat dua pegawai DUN yang masih mempunyai kontrak dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata Abdul Khalid, yang juga ADUN Pelabuhan Klang dan Anggota Parlimen bagi kawasan Bandar Tun Razak itu, kini menjalankan aktiviti menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

Azmin menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor yang baharu pada 23 September lalu.

Khalid dipecat oleh PKR kerana dilihat membelakangkan parti dalam isu berkaitan kerajaan negeri terutamanya perjanjian penstrukturan air Selangor.

No comments:

Post a Comment