ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SURAT TERBUKA KEPADA NIK ABDUH PUJUK NIK AZIZ KELUARKAN PAS DARI PR

Monday 2 February 2015

SURAT TERBUKA KEPADA NIK ABDUH PUJUK NIK AZIZ KELUARKAN PAS DARI PR




Ketika Pas dan DAP berdepan dengan krisis politik, seorang rakyat Kelantan membuat kejutan mengutus surat terbuka kepada Nik Mohamad Abduh memintanya memujuk ayah beliau, Nik Abdul Aziz Nik Mat agar membuat keputusan penting demi kelangsungan orang Melayu dan umat Islam.

Surat itu ditulis oleh Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang mendakwa cicit kepada Allahyarham Tok Khurasan iaitu Maulana Abu Abdullah Sayyid Hassan Nur Hasan, salah seorang guru agama Nik Abdul Aziz suatu ketika dahulu.

Beliau mahu Nik Mohamad Abduh memujuk ayahnya selaku Mursyidul Am Pas yang turut menaungi Majlis Syura Dewan Ulamak Pas agar membawa keluar parti itu dari Pakatan Rakyat (PR) dan bersatu dengan UMNO.

“Ini demi perpaduan ummah, demi survival kuasa politik anak cucu Melayu-Islam kita semua,” katanya dalam surat itu yang dimuatnaik Nik Mohamad Abduh dalam entri Facebook beliau.

Berikut adalah kandungan surat itu:
Salam.
Mohon kekanda Ustaz Nik Mohamad Abduh pujuklah ayahanda ustaz, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat agar keluarkan amanat, pendapat atau arahan selaku Mursyidul Am Pas, yakni selaku pemimpin terulung Pas, yang menaungi Majlis Syura Dewan Ulama Pas, yang memimpin segala jentera politik Pas… bahawa semoga Pas keluar dari Pakatan (PR) dan bersatu dengan UMNO demi perpaduan ummah… demi survival kuasa politik anak cucu Melayu-Islam kita semua.

Jika Pas mahu kekal sebagai pembangkang maka kekallah, tetapi biarlah di luar sfera DAP dan PKR.

Tegurlah UMNO dalam hal-hal yang terbukti salah. Sokonglah Kerajaan Pusat dalam hal-hal yang ma’aruf seiringan dengan Sunnah Siyasah terpuji Rasulullah yang mementingkan kebenaran dan keadilan dan mengetepikan sifat asobiyyah hizbi dan sifat ghulub.

Saya Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman (MBBS) selaku cicit kepada Allahyarham Tok Khurasan (Maulana Abu Abdullah Sayyid Hassan bin Nur Hasan), yakni salah seorang guru agama kepada ayahanda ustaz, TG Nik Aziz, dengan merendah diri dan ikhlas, saya mohon supaya ustaz pujuklah ayahanda ustaz tersebut, lepaskanlah rasa syak berlebihan kepada UMNO, zaman bermusuhan UMNO vs Pas sudah makin berlalu.

Demi kami warga Melayu-Islam yang berada di pertengahan, janganlah sia-siakan detik ini, kalian sebagai golongan yang terpelajar ilmu agama, pandulah hala tuju ummah kita secara bijaksana dan ke arah yang sepatutnya.

ALLAHUAKBAR! HIDUP MELAYU-ISLAM! DIRGAHAYU MALAYSIAKU TERCINTA! DAULAT INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU!
Surat itu turut dihantar salinannya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Kelantan; Datuk Ahmad Yakub; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment