ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ANWAR PERLU MINUM TEH DENGAN AGONG - NURUL IZZAH

Friday 27 February 2015

ANWAR PERLU MINUM TEH DENGAN AGONG - NURUL IZZAH


PETALING JAYA: Pakatan Pembangkang menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya 'tidak lepas tangan' dalam isu permohonan bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir persidangan Dewan Rakyat pada 9 Mac ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan untuk membenarkan Anwar hadir ke Parlimen bagi menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ini satu cubaan untuk tidak memikul tanggungjawab jawatan beliau. Jabatan Penjara adalah dibawah Kementerian Dalam Negeri, dan bukannya Peguam Negara. 

Hanya Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk membenarkan Datuk Seri Anwar menghadiri sidang Parlimen.

"Datuk Seri Zahid wajib bersetuju dengan perkara ini dan memberikan arahan yang sepatutnya kepada Jabatan Penjara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadikan Rakyat (PKR) di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut Nurul Izzah yang juga  anak sulung Anwar berkata, bapanya perlu hadir ke Parlimen untuk minum teh bersama Yang Di-Pertuan Agong selepas pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 nanti.

"Jangan lupa antara kuasa dan keistimewaan Ketua Pembangkang adalah mempunyai tempat untuk minum teh dengan Agong.

"Tak boleh diganti dengan mana-mana Ahli Parlimen pun. Jadi tiada siapa pun yang nak lepaskan peluang minum teh dengan Agong. Jadi beliau mesti dibenarkan (hadir)," katanya.

Pada sidang media yang sama, Nurul Izzah turut menunjukkan salinan surat jemputan untuk Anwar menghadiri majlis minum teh bersama Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berkata sebarang permohonan bagi membenarkan Anwar hadir sidang Parlimen akan datang perlu dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain itu Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata Anwar perlu dibenarkan terlibat dalam sesi perbahasan bagi membahaskan titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong pada 10 Mac ini.

"Pada 10 Mac rakyat Malaysia mendambakan Datuk Seri Anwar untuk berdiri di tempat lazim beliau di saf hadapan blok Pembangkang dan membahaskan titah Di-Raja.

"Demi kepentingan rakyat, pihak Kerajaan perlu memastikan perbahasan ini boleh berlaku dengan membenarkan Datuk Seri Anwar hadir ke sidang Parlimen," katanya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari selepas panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mendapati beliau bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hukuman tersebut menyaksikan beliau secara automatiknya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana menunggu proses keputusan Yang Di-Pertuan Agong terhadap rayuan pengampunan Diraja yang dibuat oleh ahli keluarganya pada Selasa lalu.
mStar

No comments:

Post a Comment