KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia menganjurkan satu sesi debat antara peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya bersedia memberi ruang kepada kedua-dua pihak berdebat berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Leong yang mempertikaikan badan kehakiman negara terhadap keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tolong tanya kepada Majlis Peguam kalau mereka menyahut seruan ini, bila-bila masa kita boleh anjurkan (debat) dan kita boleh fikirkan apakah kaedah yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media orkestraRTM@Java Jazz Festival di sini,Khamis.
Muhammad Shafee merupakan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar.
Beliau berkata Majlis Peguam sepatutnya bersama-sama menyanjung dan mempertahankan sistem kehakiman dan bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah dengan mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
"Sekiranya mereka masih bertegas dengan mengatakan ini ialah konspirasi politik dan sebagainya, dia (Leong) perlu menunjukkan hujahnya," katanya
Sebelum ini, Leong dipetik media tempatan sebagai berkata Anwar 'dianiaya, bukan didakwa' apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan untuk menetapkan tanda aras baharu kepada hotel bertaraf lima bintang supaya menyediakan kemudahan jalur lebar yang lebih laju.
Katanya kemudahan jalur lebar di hotel-hotel bertaraf lima bintang diseluruh negara masih ditahap rendah dan KKMM bersedia memberi khidmat nasihat untuk meningkatkan keupayaan jalur lebar di setiap hotel.
"Ada banyak hotel yang menaik taraf kemudahan infrastruktur dan sebagainya tetapi kemudahan jalur lebar masih diperingkat yang rendah dan mereka kenakan caj yang berbeza terhadap pelancong," katanya.
Beliau berkata KKMM juga sedang berusaha memastikan setiap hotel di seluruh negara mengutamakan saluran televisyen stesen tempatan berbanding saluran luar negara dalam usaha memartabatkan saluran tempatan.
Mengenai masalah melibatkan stesen televisyen BERNAMA TV, Ahmad Shabery berkata rundingan terhadap isu pemilikan BERNAMA TV masih dijalankan bagi mencari satu pilihan yang terbaik terhadap stesen televisyen itu.
"Isu pemilikan mesti diuruskan segera sekiranya kerajaan berpendapat bahawa ia perlu mengembalikan stesen ini, ia masih diperingkat rundingan dan saya akan bawa perkara ini ke peringkat Kabinet," katanya.
BERNAMA TV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam dan Bernama memiliki 33 peratus ekuiti dalam BERNAMA TV Synergy Sdn Bhd, syarikat usahasama yang menubuhkan BERNAMA TV.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment