ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERLAWANAN KELANTAN MENENTANG LIONS XII SABTU DITUNDA AHAD INI

Friday 13 February 2015

PERLAWANAN KELANTAN MENENTANG LIONS XII SABTU DITUNDA AHAD INI


Perlawanan Liga Super antara Kelantan menentang Lions XII di Stadium Sultan Muhammad IV di sini yang dijadualkan berlangsung Sabtu, ditunda ke Ahad ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata perlawanan itu ditunda bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis.

"Dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah bersetuju dengan permohonan KAFA untuk menangguhkan perlawanan Kelantan menentang Lions XII yang dijadualkan Sabtu (14 Feb), perlawanan akan diadakan pada Ahad ini.

Ini merupakan tanda hormat Kafa dan rakyat kepada bekas Menteri Besar (Nik Abdul Aziz) dan Kafa akan menghantar surat rasmi Jumaat kepada FAM dan Singapura (Lions XII)," katanya dalam laman sosial Facebooknya Jumaat.

Annuar berkata pihaknya juga telah bersetuju untuk menanggung segala kos perbelanjaan selepas penangguhan perlawanan ini dibuat.

"Kafa bersetuju menanggung segala kos akibat dari penangguhan ini, saya faham penangguhan ini mungkin menimbulkan kesulitan kepada pasukan pelawat, pegawai perlawanan, krew siaran langsung, media, bukan saja bagi Liga Super tetapi turut menjejaskan perlawanan pasukan belia.

Saya memohon maaf atas segala kesulitan demi menghormati kembalinya ke rahmatullah Tok Guru Nik Abdul Aziz bekas Menteri Besar Kelantan, semoga perlawanan pada 15 Feb ini berjalan lancar," katanya.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di kediamannya pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini Jumaat.

Allahyarham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment