ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: NASIB ANWAR DITENTUKAN PAGI INI

Tuesday, 10 February 2015

NASIB ANWAR DITENTUKAN PAGI INI


PUTRAJAYA - Keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan bersalah tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari, lapan tahun lalu akan diumumkan pagi ini oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan itu dibuat oleh panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Turut sama bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif; Hakim Mahkamah Persekutuan,  Tan Sri Abdul Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar; Datuk Ramly Ali.

Anwar, 68, sebelum ini mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkannya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari.

Sebelum ini, pendengaran hujahan rayuan berlangsung selama lapan hari bermula 28 Oktober 2014.

Anwar diwakili 14 barisan peguam yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas lapan hari mendengar perbicaraan rayuan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.

Pada 9 Januari 2012 , Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Pada 7 Mac tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah.

7.50 pagi - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuju ke Mahkamah Persekutuan, Putrajaya dari rumahnya di Bukit Segambut dengan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya, Nurul Izzah dan cucu-cucunya.

8.10 pagi - Lebih 300 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berarak ke Istana Kehakiman sambil melaungkan slogan reformasi.

8.20 pagi - Pihak media mula mengambil tempat di kamar mahkamah.

8.31 pagi - Beberapa peguam Anwar mula memasuki kamar mahkamah termasuk Datuk Seri Gopal Sri Ram.

8.32 pagi - Peguam Mohd Saiful Bukhari Azlan, Zamri Idrus mengambil tempat. Beliau mengesahkan Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keluarganya tidak hadir mengikuti prosiding.

8.58 pagi - Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai Ketua Pendawa tiba di dewan mahkamah.

9.00 pagi - Kelihatan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memasuki perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya

9.02 pagi - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah memasuki kamar. Turut diiringi ahli keluarganya, Nurul Izzah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.





Berikut adalah gambar suasana di perkarangan Kompleks Mahkamah, Putrajaya.
















No comments:

Post a Comment