ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LORI BAWA WAYAR EMAS BERNILAI RM910.000 DISAMUN

Tuesday 17 February 2015

LORI BAWA WAYAR EMAS BERNILAI RM910.000 DISAMUN


SEREMBAN: Sekumpulan lima lelaki menyamun sebuah lori membawa muatan enam kotak wayar emas dengan anggaran berat 33 kilogram bernilai RM910,000 berhampiran susur masuk ke Taman Tuanku Jaafar (TTJ) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun, berkata ketika kejadian 10 pagi itu, lori Hino yang dipandu Mohd Irwadi Abdullah, 32, bersama seorang kelindan yang juga bertindak sebagai pengawal keselamatan, sedang dalam perjalanan untuk menghantar barang dari Kilang UPS (Courier) di KLIA ke Kilang NXP di Kawasan Perindustrian TTJ.

"Semasa berada di Jalan Seremban-Tampin berhampiran susur masuk ke TTJ, lori yang dipandu mangsa telah dihalang sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna kelabu yang dinaiki seorang lelaki di bahagian depan dan sebuah lagi kereta yang tidak dapat dikenal pasti yang dinaiki empat lelaki.

"(Tiba-tiba) dua daripada lelaki terbabit bersenjatakan kapak dan seorang daripada mereka telah menyimbah muka Mohd Irwadi dan kelindannya dengan minyak cecair seperti petrol," kata Muhamad Zaki di dalam kenyataannya di sini.

Sejurus selepas itu, tangan kedua-dua mangsa diikat dengan wayar dan suspek kemudiannya menarik keluar kelindan lori dan memasukkannya ke dalam kereta suspek sebelum meninggalkan mangsa di KM228, Lebuh Raya Utara-Selatan di Simpang Ampat, Melaka arah selatan.

"Lori itu kemudiannya dipandu oleh suspek sejauh 2 kilometer dan kesemua barang muatan telah dipindahkan ke dalam kenderaan suspek sebelum beredar," katanya.

Beliau berkata, suspek turut bertindak merampas barangan peribadi Mohd Irwadi seperti dompet yang mengandungi wang tunai RM150, dokumen peribadi serta telefon bimbit.

Katanya, Mohd Irwadi kemudiannya dalam keadaan tangan terikat telah pergi ke tapak semaian berhampiran untuk meminta bantuan.

Muhamad Zaki berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui selaras 'pump gun' kepunyaan kelindan lori di tepi longkang berdekatan lori itu.

Sehubungan itu, katanya, polis melancarkan Ops Kesan di sekitar daerah sempadan bagi mengesan suspek.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment