ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK DUN CHEMPAKA : UMNO KELANTAN NAFI TAJA CALON BEBAS

Saturday 28 February 2015

PRK DUN CHEMPAKA : UMNO KELANTAN NAFI TAJA CALON BEBAS



Badan Perhubungan UMNO negeri ini menafikan dakwaan kononnya menaja calon Bebas untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) De­wan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, 22 Mac ini.

Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata, pihaknya berpegang teguh dengan keputusan parti untuk tidak meletakkan calon dalam PRK itu.

“Sebagai sebuah parti yang besar dan berpengaruh, tidak munasabah untuk kita menaja calon Bebas, lebih baik UMNO sendiri yang bertanding.

“Kita konsisten dengan keputusan pemimpin tertinggi parti dan akan berpegang teguh kepada apa yang telah diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian karpet bernilai RM80,000 kepada pihak Masjid Kubang Panjang, Mukim Lemal.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebuah portal berita, sokmo.net melaporkan Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin berhasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Chempaka pada 22 Mac ini.

PRK DUN Chempaka diadakan selepas penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat penyakit kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Nik Abdul Aziz menang dengan majoriti 6,500 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd. Razak.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN tersebut bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pemulihan kawasan di negeri ini yang terjejas dengan bah kuning penghujung Disember lalu.

Sementara itu, Hanafi tidak menolak kemungkinan khabar angin itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu yang mahu mengagalkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Pas Kelantan.

“Keputusan untuk tidak ber­tanding dibuat demi kepentingan rakyat, kita tidak tergamak melihat rakyat terus tinggal di bawah khemah berbulan-bulan akibat banjir.

“Bagi kita, kebajikan rak­yat harus diutamakan daripada kepentingan parti," tegasnya.
Utusan

No comments:

Post a Comment