ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES LIWAT II : KELUARGA ANWAR KEMUKA RAYUAN PENGAMPUNAN KEPADA SPB YDP AGONG

Tuesday 24 February 2015

KES LIWAT II : KELUARGA ANWAR KEMUKA RAYUAN PENGAMPUNAN KEPADA SPB YDP AGONG

alt

KUALA LUMPUR 24 Feb - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengemukakan petisyen pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap sabitan kesalahan kes liwat II Ketua Pembangkang itu.
    
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata petisyen itu telah diserahkan kepada pihak istana di Istana Negara pada kira-kira pukul 3.30 petang ini.
 
Petisyen telah dikemukakan di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
    
Mengikut peraturan itu banduan jika hendak, boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja atau Yang Dipertua Negeri seberapa segera selepas sabitan. Kemudiannya selepas tiga tahun dari tarikh sabitan dan selepas itu, lat dua tahun.
 
Sementara itu, pihak Istana Negara mengesahkan telah menerima petisyen itu petang ini.
 
Tian Chua berkata petisyen itu dibuat atas faktor bahawa keluarga Anwar percaya ada penyelewengan dalam sistem pengadilan ketika dia (Anwar) disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 34.
 
"Dengan ini petisyen berkenaan meminta pihak istana campur tangan bagi memberi pengampunan kepada Anwar," katanya.
 
Tian Chua berkata satu salinan petisyen telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini petang ini.
 
Naib Presiden PKR itu menjelaskan bahawa petisyen itu dikemukakan atas dasar mendapatkan keadilan untuk Ketua Pembangkang itu dan bukan atas dasar kerana mahu kedudukan Anwar sebagai anggota parlimen Permatang Pauh dipertahankan.
 
"Kedudukannya sebagai anggota Parlimen bukan lagi isu, terpulang kepada Speaker Dewan mahu membatalkannya, ini soal keadilan kepadanya," katanya.


KUALA LUMPUR, 24 Feb 2015 - Tindakan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan kes liwat beliau hari ini disifatkan ibarat 'menjilat ludah sendiri' dan 'cakap tidak serupa bikin'. 

Permohonan yang dibuat oleh isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah itu secara tidak langsung menunjukkan Anwar mengaku bersalah atas pertuduhan liwat yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini. Ia juga  bertentangan dengan pendirian awal Anwar yang menegaskan tidak akan sekali-sekali memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah. Malah permohonan ini juga dilihat sebagai keputusan keluarga dan bukan keputusan parti. Jelas, dalam keadaan terdesak mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan sendiri termasuk membelakangkan pendirian terdahulu dan suara parti. 

Oleh yang demikian, saya ingin menyeru supaya pengikut tegar Anwar dan PKR serta seluruh rakyat malaysia agar membuka mata seluas-luasnya terhadap tipu helah Anwar selama ini yang bijak memutar belit isu untuk meraih simpati dan populariti. Cukup-cukuplah diperbodohkan Anwar dan PKR  selama ini. Bukalah minda, terimalah kenyataan dan redhalah dengan hukuman yang dijatuhkan.

JAMAWI JAAFAR
KETUA PENERANGAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

No comments:

Post a Comment