ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "SAYA TIDAK GENTAR DENGAN UGUTAN BUNUH" - KPN @KBAB51

Wednesday 25 February 2015

"SAYA TIDAK GENTAR DENGAN UGUTAN BUNUH" - KPN @KBAB51


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterimanya daripada sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Anak Malaysia Anti Demokrasi'.

Khalid dalam kenyataan hari ini berkata ugutan itu langsung tidak menakutkan beliau sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dan menyifatkan ugutan seperti itu merupakan lumrah seorang pegawai polis yang menjalankan tugas.

"Ekoran daripada beberapa klip video yang tersiar dalam laman sosial yang memperkenalkan mereka sebagai kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi baru-baru ini, saya menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak berkenaan serta ingin memberikan satu gambaran yang buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Ini menunjukkan bahawa kumpulan tersebut tidak mengenal erti sebenarnya sistem demokratik yang telah sekian lama diamalkan di negara ini dan mengugut untuk membunuh saya," katanya.

Dua hari lepas, video berdurasi 1 minit 27 saat menjadi viral di laman sosial YouTube, yang antara lain mengugut untuk membunuh Ketua Polis Negara dan meletupkan keretanya.

Video klip itu memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelarkan diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi di mana seorang daripada mereka mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan ugutan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata apa yang membimbangkan adalah terdapat segelintir masyarakat tidak menggunakan saluran demokrasi yang sedia ada di negara ini dan sering melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang dalam menuntut sebarang perubahan.

"Saya yakin masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi huru hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Khalid turut berkata mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat jahat sedemikian supaya menghentikannya dengan serta-merta kerana ia berupaya membawa implikasi keselamatan yang amat serius dan akan merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama di negara ini.

Katanya aktiviti dan identiti kumpulan berkenaan sedang dikesan pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang  mengganggu-gugat keamanan yang kita kecapi selama ini," katanya.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment