ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "JANGAN BUAT TUDUHAN TAK BERASAS TERHADAP BADAN KEHAKIMAN" - KETUA HAKIM NEGARA

Monday 16 February 2015

"JANGAN BUAT TUDUHAN TAK BERASAS TERHADAP BADAN KEHAKIMAN" - KETUA HAKIM NEGARA



PUTRAJAYA: Badan kehakiman tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencemarkan maruah dan kewibawaannya, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Isnin.

Beliau berkata, ini kerana sebarang dakwaan dan kritikan tidak berasas terhadap badan kehakiman boleh melumpuhkan sistem pentadbiran keadilan negara dan menghakis kepercayaan masyarakat.

"Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memberi pandangan mereka di media sosial kerana kesannya adalah meluas," katanya ketika berucap di majlis kenaikan pangkat empat orang hakim di Istana Kehakiman di sini, Isnin.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau menafikan bahawa beliau telah keluar dari mahkamah semasa pendengaran rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

"Saya bukan 'cabut'. Saya menangguhkan perbicaraan hanya untuk menenangkan keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta untuk mengulas mengenai kritikan Anwar terhadap badan kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan keduanya itu pada 10 Februari lalu.

Katanya, beliau tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Anwar.

"Pendekatan saya mudah sahaja, setiap kali saya merasakan bahawa apa yang diucapkan tidak adil, saya akan menangguhkan prosiding. Itulah apa yang saya lakukan," katanya.

Ditanya sama ada beliau merasa tersinggung, beliau berkata tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa dan beliau ikhlas dalam menjalankan tugasnya.

Ketika ditanya sama ada akan terdapat sebarang prosiding pengkomitan terhadap Anwar, beliau enggan mengulas.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

No comments:

Post a Comment