ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MAT SABU, HATTA WAJAR BERSIHKAN NAMA

Monday 23 February 2015

MAT SABU, HATTA WAJAR BERSIHKAN NAMA

Hasil carian imej untuk MAT SABU DAN DR hATTA

IPOH – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Pengarah Pilihan Raya­nya, Dr. Mohd. Hatta Ramli wajar tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama mereka daripada tuduhan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, tuduhan seumpama itu boleh dilemparkan oleh sesiapa sahaja, justeru siasatan wajar dijalankan, malah tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan dilakukan adalah benar-benar berlaku.

“Perkara ini baru tuduhan, kita pun tidak tahu (kebenarannya). Sesiapa sahaja boleh melemparkan tuduhan. Yang diminta ialah supaya dibuat siasatan. Kalau tak betul, alhamdulillah. Kalau betul, kita kena ambil tindakan. Kalau nak dikira tabayyun (mendalami masalah de­ngan teliti), ayat al-Quran pun ada (menyebut), apabila kita menerima sesuatu berita, maka kita kena siasat.

“Memang sepatutnya dalam gerakan kita melibatkan satu jemaah ini, apabila ada sesuatu dilemparkan kepada kita, lebih baik kita sendiri yang tampil membersihkan nama. Kalau tak ada pembersihan ini, mungkin ada satu badan lain pula yang membuat pengesahan kepada perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran pakatan pembangkang negeri di pekarangan Wisma DAP di sini hari ini.

Razman diminta mengulas kewajaran Mat Sabu dan Mohd. Hatta tampil membersihkan nama mereka selepas seorang wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Fauzi Hussin mengaitkan kedua-duanya sebagai dalang untuk menjatuhkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam Multaqa Ulama SeMalaysia II di Serdang Jaya, Selangor, semalam.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada Pas negeri mengiktiraf kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Razman berkata, pihaknya mengikut ketetapan Majlis Syura Ulama selaku badan tertinggi dalam parti itu yang menetapkan supaya ahli-ahli Pas tidak terlibat dengan program dianjurkan persatuan itu.

“Badan ini melihat serta membuat teguran supaya perjalanan Pas mestilah tidak lari daripada al-Quran dan as-sunnah kerana ada yang membawa sesuatu tidak baik kepada parti.

“Maka, sebagai pesuruhjaya yang merupakan badan perhubu­ngan dan dilantik daripada keputusan Pusat, maka kita kena bawa ketetapan ini ke peringkat dasar. Kita hanya menyambung keputusan dasar ini,” katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment