ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK PERMATANG PAUH : SPR TUNGGU TEMPOH 14 HARI BERAKHIR

Wednesday 18 February 2015

PRK PERMATANG PAUH : SPR TUNGGU TEMPOH 14 HARI BERAKHIR

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu tempoh 14 hari berakhir pada 24 Februari ini sebelum menentukan status terkini bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya perlu menunggu penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan petisyen pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong atau membuat semakan kehakiman terlebih dahulu.

"Sehingga 24 Februari ini, jika tiada rayuan, jadi SPR akan mengadakan mesyuarat khas selepas itu.

"Tetapi jika adanya rayuan, kita tidak pasti bila tarikh penamaan calon atau pilihan raya kecil kerana ia bergantung kepada keputusan mahkamah atau YDP Agong, buat masa ini kita dahulukan Dun Chempaka dulu," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan supaya Anwar memfailkan petisyen pengampunan dalam t‎empoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman kes liwat II kepada YDP Agong untuk pembebasannya.

Dalam tempoh itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang masih kekal sebagai wakil rakyat sehingga 24 Februari ini dan sehingga itu beliau boleh mengemukakan petisyen pengampunan tersebut.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang difailkan Anwar dan mengekalkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 30, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur tujuh tahun lalu.

Kesalahan Anwar di bawah Seksyen 337B Kanun Keseksaan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ia dibaca bersama Seksyen 337A Kanun Keseksaan, yang mensabitkan kesalahan liwat dan seks oral.

Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari di sebuah unit kondominium di Damansara, Kuala Lumpur, pada 26 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment