ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MURSYIDUL AM PAS : SIAPA GANTI NIK AZIZ BELUM DIPILIH - HARON DIN

Tuesday 17 February 2015

MURSYIDUL AM PAS : SIAPA GANTI NIK AZIZ BELUM DIPILIH - HARON DIN

Haron Din

SHAH ALAM - Isu siapa yang akan mengisi jawatan Mursyidul Am Pas yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak timbul sehingga habis tempoh sesi Majlis Syura Ulama  2011-2015. 

Timbalannya, Datuk Haron Din berkata, mengikut perlembagaan parti, jawatan dan tugas mursyidul am parti secara automatik akan dipangku oleh timbalannya apabila berlaku kematian sehingga  pemilihan dalaman dibuat bagi menentukan individu yang paling layak dipilih menduduki jawatan tersebut. 

“Pada ketika itu akan timbul siapa yang boleh dipercayai dan berkebolehan untuk dipilih sebagai mursyidul am dan timbalannya. Sama seperti ketika Ketua Dewan Ulama Pas Pusat meninggal dunia, jawatan itu dipangku oleh timbalannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini. 

Memberitahu buat masa ini belum diadakan sebarang mesyuarat rasmi oleh Majlis Syura Ulama berhubung kekosongan jawatan berkenaan, Haron berkata, tugas-tugas rasmi Allahyarham membabitkan jawatan dalam majlis itu sudah dipangku olehnya secara tidak rasmi. 

“Kita semua sedia maklum Allahyarham Tok Guru uzur syarie dan berulang-alik ke hospital sebelum ini. Beberapa kali juga saya mengadakan mesyuarat Majlis Syura di Kota Bharu bagi membolehkan beliau turut serta.

“Malah jika ada mesyuarat di Kuala Lumpur, saya sebagai timbalan akan bertindak sebagai pemangku,” kata Haron.

Mengulas lanjut berhubung ‘pertandingan dalaman’ itu, Haron berkata, beberapa nama akan dicalonkan oleh ahli Majlis Syura Ulama yang terdiri daripada 16 orang dan proses pengundian akan dibuat untuk menentukan mursyidul am yang baharu dan timbalannya. 

Sementara itu, Haron yang ditanya berhubung kriteria calon jawatan tertinggi dalam Pas itu berkata, “individu itu mestilah dikenali umum sebagai ahli ilmu, sifat-sifat jelas ketara mendukung prinsip ulama yang diterima umum, berakhlak yang dipanggil hasanah dan tidak kontroversi.”

Akhbar Sinar Harian hari ini memetik Ketua Penerangan Pas Pahang, Suhaimi Saad yang menyifatkan Haron adalah individu paling layak menggantikan Allahyarham Nik Aziz sebagai mursyidul am parti itu. 

“Jika ikut tradisi, timbalan mursyidul am boleh dilantik secara automatik bagi mengisi kekosongan jawatan itu,” katanya. 

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu juga menjelaskan Majlis Syura akan bermesyuarat selepas tempoh bertenang berhubung jawatan berkenaan. 

Jawatan Mursyidul Am Pas kosong berikutan kematian Allahyarham Nik Aziz pada malam 12 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment