ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIDAK LETAK CALON DUN CHEMPAKA KEPUTUSAN TERBAIK BAGI UMNO - MOHAMAD AGUS

Saturday 14 February 2015

TIDAK LETAK CALON DUN CHEMPAKA KEPUTUSAN TERBAIK BAGI UMNO - MOHAMAD AGUS


Tidak letak calon DUN Chempaka keputusan terbaik bagi Umno - Mohammad Agus

KUALA LUMPUR: Cadangan Umno Kelantan untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang disandang Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan petanda baik mengekalkan keharmonian landskap politik di negeri itu.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, langkah itu sekali gus merapatkan hubungan dua parti selain membuktikan sikap hormat Umno kepada PAS.

"Itu langkah terbaik dan paling strategik di atas faktor mengharmonikan suasana PAS dan Umno.

"Kita lihat Umno menghormati kawasan Pas di mana ia membina platform gandingan politik erat di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Bagaimanapun kata Mustapa, keputusan itu masih terlalu awal memandangkan kekosongan kerusi itu masih belum diumumkan.

Dalam pada itu kata Dr. Mohammad Agus, kerjasama Pas dan Umno di Kelantan disifatkan makin erat selepas bencana banjir akhir tahun lepas.

"Ia semakin rapat selepas banjir besar lepas dan jika Umno tidak bertanding di DUN Chempaka, hubungan itu pasti akan menjadi semakin erat," jelasnya.

Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir pada usia 84  tahun di kediamannya pada pukul 9.40 malam Khamis lepas, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Mohammad Agus menjelaskan, Umno tidak boleh menarik diri dan membiarkan laluan mudah untuk PKR menang percuma di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Tegasnya, situasi itu disifatkan berbeza dengan apa yang berlaku di Kelantan.

"Di Permatang Pauh itu adalah antara Umno, PKR dan Pakatan Rakyat (PR).

"Di Kelantan berbeza, ia adalah antara Umno dan Pas yang membawa banyak persamaan termasuk isu-isu yang ditangani bersama akhir-akhir ini," jelasnya.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.
astro

No comments:

Post a Comment