ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MENANTI 'SABDA' HADI

Sunday, 8 February 2015

MENANTI 'SABDA' HADI


PETALING JAYA: Setelah timbul pelbagai isu yang menggambarkan kepincangan dalam  Pakatan Rakyat, akhirnya kepimpinannya akan mengadakan pertemuan petang Ahad yang dijangka bagi mencari penyelesaian terhadap krisis dalaman membabitkan gabungan pembangkang itu.

Ia diadakan ketika PAS dan DAP terus bercakaran berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

Lebih penting mesyuarat itu juga diadakan dua hari sebelum Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan akhir kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa ini.

Pada tahap ini ‘perang mulut' antara pimpinan utama PAS dan DAP secara terbuka khususnya di media arus perdana menimbulkan perspektif negatif di kalangan penyokong pakatan pembangkang.

Lebih-lebih lagi di kala semua pihak masih tertanya-tanya mengenai nasib pakatan itu sekiranya Anwar dipenjarakan atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sehingga hari ini, isu tuduh-menuduh antara Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pilihan raya PBT di Pulau Pinang masih belum diselesaikan dengan baik.

Pada 28 Januari lalu, Mustafa menggelar Guan Eng bermulut celupar dan mencabar Ahli Parlimen Bagan itu untuk berdebat secara terbuka berhubung kontroversi pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Cabaran itu timbul selepas Guan Eng dilaporkan terlebih dahulu menuduh Mustafa berbohong kerana mendakwa beliau (Mustafa) bersetuju dengan pilihan raya PBT sedangkan pemimpin PAS itu menafikannya.

Bagaimanapun sejak daripada itu Guan Eng masih membisu dan mengelak pertanyaan media berhubung cabaran Mustafa.

Bukan itu sahaja, masalah dalaman pakatan pembangkang itu juga dianggap berada pada tahap meruncing apabila isu ketidakhadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam beberapa mesyuarat Pakatan Rakyat sebelum ini turut menjadi ‘modal serangan' DAP terhadap rakan sekutunya itu.

Makin parah apabila Guan Eng baru-baru ini memberi kata dua kepada  Hadi bahawa mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat yang akan berlangsung di Pejabat Agung PAS bermula pukul 2 petang ini tidak akan diteruskan jika veteran PAS itu gagal hadir.

Bagaimanapun Hadi sendiri dilaporkan memberi jaminan bahawa beliau akan menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat itu yang pertama kali diadakan tahun ini namun menegaskan kehadirannya ia bukan atas desakan DAP.

Untuk rekod, Hadi juga tidak hadir pada mesyuarat Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen,  Oktober lalu iaitu sehari sebelum pendengaran rayuan terakhir kes liwat Anwar yang berlangsung bermula 28 Oktober.

Pemimpin PAS  itu juga dilihat gagal menghadiri beberapa mesyuarat penting Pakatan Rakyat ketika gabungan itu berhadapan krisis di Selangor selepas kegagalan 'Langkah Kajang' yang bertujuan untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui bahawa masalah yang timbul antara komponen Pakatan Rakyat berpunca daripada sikap pimpinannya sendiri.

Katanya, kegagalan untuk menyelesaikan setiap isu atau pertikaian yang timbul ke meja rundingan akhirnya membawa padah kepada Pakatan Rakyat.

“Dikala Umno dan Barisan Nasional (BN) berbalah sesama sendiri…kita dalam Pakatan Rakyat juga sedang tembak diri sendiri,” katanya merujuk kepada konflik berpanjangan yang berlaku antara PKR-DAP-PAS membabitkan pelbagai isu.

Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat melihat perbalahan dalam Pakatan Rakyat hanya perkara kecil yang sengaja diperbesarkan pihak media dan sebilangan penyokong pakatan itu.

Menurutnya, semua pihak lebih tertarik dengan perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat yang dianggap hanya 10 peratus berbanding 90 peratus persamaan yang dipersetujui secara bersama.

“Kenapa hanya fokus kepada 10 peratus keburukan? Kenapa tidak lihat 90 peratus lagi persamaan yang kita capai dalam Pakatan Rakyat?” katanya.

Bagaimanapun baru-baru ini mStar Online melaporkan bahawa sikap sering berbalah sesama sendiri antara komponen pembangkang amat tidak disenangi penyokong-penyokongnya khususnya di kalangan generasi muda.

Aktivis politik, Mandeep Singh berkata, Pakatan Rakyat akan kekal sebagai pembangkang jika mereka berterusan memilih untuk bercakaran sesama sendiri lebih-lebih lagi jika Anwar dipenjarakan.

Mandeep yang juga aktivis Kelab Bangsar Utama melahirkan kekecewaannya terhadap Pakatan Rakyat dan mengakui bahawa golongan muda sepertinya sudah tidak meletakkan sebarang harapan kepada pakatan itu untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Walau apa pun, PAS, DAP dan PKR perlu mencari kata sepakat dan menyelesaikan segera masalah dalaman yang berlaku sebelum 10 Februari ini  atau setidak-tidaknya bersetuju untuk mengadakan moratorium (penangguhan) bagi meredakan ketegangan.

Fasa moratorium perlu dipersetujui ketiga-tiga parti politik khususnya bagi mengelakkan pimpinannya ‘terlajak cakap’ hingga mengeruhkan keadaan.

Walaupun moratorium hanya bersifat sementara, namun langkah itu juga dilihat mampu meredakan kebimbangan penyokong pembangkang dan secara tidak langsung meningkatkan sokongan moral kepada Anwar untuk berhadapan keputusan Mahkamah Persekutuan.
mStar

No comments:

Post a Comment