ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU BOIKOT : AJAK PENIAGA BERTOLAK ANSUR DENGAN PENGGUNA

Wednesday 4 February 2015

ISU BOIKOT : AJAK PENIAGA BERTOLAK ANSUR DENGAN PENGGUNA


Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu boikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang dan menjadi viral di laman sosial mendapat sokongan pemimpin Umno.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan bahawa isu pemboikotan ini tidak ada kena mengena dengan perkauman sebaliknya mengajak peniaga bertolak ansur dengan pengguna. 

"Jika selama ini pengguna yang menyokong perniagaan kita dan bila harga minyak turun maka peniaga kena bertolak ansur dengan pengguna menurunkan harga barangan. 

"Jangan sebelah pihak sahaja yang mahu untung dan sebelah pihak lagi iaitu pengguna mengalami kerugian sikap peniaga dan pembekal mahu mengejar untung semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di blognya, umnobahagiancheras.blogspot.com pada Selasa.

Syed Ali berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa supaya membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga, pemborong dan pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

“Jangan beri muka kepada peniaga degil yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan dalam satu kenyataan berkata, tindakan memboikot dengan tidak membeli produk yang mahal dan beralih kepada produk lain khususnya keluaran Bumiputera.

Ini katanya, ia akan menjejaskan permintaan dan menyebabkan lambakan produk di pasaran sekali gus berjaya memaksa golongan berkenaan untuk menurunkan harga barangan mereka

"Penurunan harga barang ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).

Menurut Sohaimi, sudah tiba masanya kerajaan wajar mengambil langkah drastik dan holistik dengan membuat rombakan semula sistem rantaian bekalan dengan mewujudkan peluang baharu khususnya kepada golongan Bumiputera untuk menjadi pemain dalam sektor huluan dan hiliran.

Beliau menambah, ia akan mewujudkan persaingan secara sihat bagi mengekang monopoli pasaran harga barangan oleh sesuatu pihak.

"Kita perlu membuat pendekatan serius dalam mengenal pasti bekalan dan keperluan terutama melibatkan bekalan komoditi dan pasaran hartanah bagi mengimbangkan semula harga bekalan sekali gus dapat mengurangkan unsur monopoli harga bagi mengaut keuntungan berganda.

"Semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, penyedia pinjaman mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu dan menyokong produk keluaran Bumiputera dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing dan mempelbagaikan produk pengeluaran serta meningkatkan bidang kepakaran masing-masing," kata Sohaimi. 
mStar

No comments:

Post a Comment