ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AGENDA '3S' MENCURIGAKAN !!!

Wednesday 4 February 2015

AGENDA '3S' MENCURIGAKAN !!!

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mengingatkan parti itu tentang agenda mencurigakan membabitkan rakan sekutunya yang didakwa mahu membolot kekuasaan di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan isu agama.
Beliau yang menamakannya sebagai Agenda 3S (Singapura, Sabah dan Sarawak) berkata, Pas perlu melihat lebih jauh dan bukannya sekadar menawan Putrajaya sahaja kerana ada musuh yang jauh lebih besar di selatan tanah air seperti PAP.
Mohd. Zuhdi yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas mendedahkan, antara agenda utama gerakan itu ialah menjadikan Sabah dan Sarawak seperti Si­ngapura.
“Kita tidak boleh menafikan ada ahli-ahli politik yang berulang-alik ke Singapura,” jelas Zuhdi.
Beliau menyatakan demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Politik Islam Pasca Keruntuhan Negara Bangsa dalam program Nadwah Ulama di Darul Fuqaha, Bangi, dekat sini hari ini.
Mohd. Zuhdi berkata, Pas sebagai sebuah gerakan Islam tidak boleh melupakan amaran yang pernah disuarakan oleh bekas-bekas pemimpin parti itu tentang kemungkinan Singapura memainkan peranan sebagai sekutu Israel di Asia Tenggara.
Beliau mendakwa, gerakan yang memperjuangkan Agenda 3S itu sedang giat memainkan sentimen agama untuk menarik sokongan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
“Isu kalimah Allah yang sudah lama padam dibangkitkan semula dan mereka juga mencari jalan untuk mengeluarkan Pas daripada pakatan pembangkang,” ujarnya.
Mohd. Zuhdi sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi berikutan analisis senarionya tentang kemungkinan Pas bekerjasama dengan UMNO untuk menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor di dalam kumpulan WhatsApp ‘AJK Pas Pusat’ yang dibocorkan kepada umum.
Kebocoran analisis senario itu telah mencetuskan perbalahan secara terbuka di antara pemimpin-pemimpin Pas yang mempertahankan Mohd. Zuhdi serta sekutu-sekutu mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. - Utusan

No comments:

Post a Comment