ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAK TURUT YANG BANTAH AKTA HASUTAN

Friday, 5 December 2014

PAK TURUT YANG BANTAH AKTA HASUTAN


SASARAN mereka ialah ahli-ahli Umno. Mereka bergerak hampir ke setiap negeri meliputi banyak bahagian. Majlis lazim dibuat secara tertutup bagi mengelak kontroversi dan dihidu musuh. Suara mereka hanya mendapat publisiti media kecil serta portal berita.

Penganjur pun takut jika pucuk pimpinan menyalah tafsir. Biasalah perkara bertentangan dengan dasar pucuk pimpinan dilihat menentang arus. Ia bakal menimbulkan kemurkaan orang atasan. Dengan sendiri terhadlah peluang si anu dan si polan menjadi wakil rakyat.

Media arus perdana seperti biasa bersikap berkecuali. Isu ini jarang mendapat liputan. Justeru tidak ramai tahu.

Walaupun sifatnya dibuat secara tertutup, maklumat tetap sampai ke luar. Ia seperti aroma nangka atau kentut yang sukar dikawal baunya.

Selain NGO-NGO berpaksi Melayu, terdapat mereka yang bergerak secara individu. Ini termasuklah Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara. Ramai lagi bersama-samanya menentang pemansuhan akta ini.

Dengan Musa dilihat 'mengetuai' usaha ini, ia dengan sendiri memberi puak yang menentang ini satu kekuatan. Maklum sajalah, Musa selaku bekas KPN, tentu arif hal-hal perundangan. Lagipun jika Musa sendiri membantah tentu ada sebab utama.

Pada zamannya, malah zaman sebelum itu lagi, akta ini digubal dengan tujuan tertentu. Zaman ketika Inggeris berkuasa, akta ini sebahagian usaha mereka melindungi kerajaan pentadbiran mereka. Ia antara lain untuk memastikan Malaya yang dalam genggaman mereka 'selamat.'

Tentu sahaja Musa menyaksikan akta ini melalui lima kali pindaan sejak sebelum menjadi KPN lagi. Ia sebahagian dari apparatus diguna pakai kerajaan melaksanakan undang-undang. Dengan sendiri Musa menyaksikan lebih banyak aspek kebaikannya, bukan seperti dakwaan pembangkang.

Pembangkang menuduh akta ini senjata politik Umno. Apa nak dihairan kerana yang ramai dihadap ke mahkamah kerana menghasut dan berpotensi menggugat ketenteraman awam puak mereka. Dan alasan mereka kononnya sekadar mengkritik Umno dan BN.

Namun sebenarnya ia tidak pernah menjadi senjata politik mana-mana pihak. Tetapi malangnya rakyat mempercayai dakwaan ini kerana kritikan datang daripada tokoh-tokoh seperti Anwar dan DAP. Pas pula kalau bukan sekerat dua secara keseluruhan agak rasional.

Ironinya Anwar mengkritik akta ini tetapi tidak semasa berada dalam kerajaan sejak 1982 hingga 1998.

Pembangkang kini mahu menjadikan Akta Hasutan 1948 satu lagi isu politik. Mereka kini ketandusan isu kerana banyak isu dibangkang gagal menarik perhatian rakyat. Isu kenaikan minyak, sebagai contoh, juga gagal. Begitu juga isu 1MDG, kalimah ALLAH dan sebagainya.

Mereka  mahu menjadikan akta ini satu isu rakyat macam mereka menjadikan isu ISA tempoh hari sehingga Najib akhirnya terpaksa bertindak memansuhkan akta berkenaan. Matlamat mereka bukan saja menarik perhatian rakyat Malaysia, lebih penting masyarakat antarabangsa.

Dalam perspektif lain, ada asas untuk berasakan akta ini berbahaya pada hak asasi manusia. Maklum sajalah ia menyekat kebebasan bersuara. Tetapi persoalannya pada akhir justifikasi, pihak mahkamah menentukan sama ada orang tertuduh bersalah atau sebaliknya. Bukan semua yang dihadap ke mahkamah di bawah akta ini disabit kesalahan. Bukan semua yang mengkritik Najib dipenjara.

Sejarah membuktikan mahkamah kita bebas dari gangguan atau sebarang tekanan. Lihat kes liwat Anwar sejak 1998. Ada ketika Anwar menang, begitu juga sebaliknya. Dalam kes liwat membabitkan pembantunya Saiful, Anwar menang sekali, kalah sekali dan kini nasib dalam pertimbangan Mahkamah Persekutuan.

Kalau mahkamah begitu mudah dipengaruhi Umno, rasanya sudah lama Anwar meringkuk dalam jel. Lihat Tian Chua dan ramai aktivis pembangkang yang dibebaskan melibatkan isu-isu menentang arahan polis.

Hari ini apabila PM mengumumkan pengekalan akta ini, sunyi daripada puak yang menentang pemansuhan dahulu. Musa dan rakan-rakan perlu tampil serta mempertahankan langkah kerajaan. Malah jika wajar mereka perlu buat road show.

Di pihak kerajaan, Menteri Dalam Negeri berkata tiga elemen penting  diambil kira dalam memperkasa Akta Hasutan 1948 iaitu hasutan di internet terutama media sosial, sensitiviti keagamaan serta isu membawa keluar Sabah/Sarawak.

Semua yang tidak menyokong pemansuhan akta ini perlu bersikap rasional termasuklah sesetengah pemimpin Pas. Yang menentangnya seperti Mat Sabu misalnya, menentang atas alasan lain – mungkin kerana menjadi pak turut Anwar dan DAP.?  

Di peringkat rakyat pula lebih ramai menyokong dari yang menentang.  Mereka yang menyokong keputusan kerajaan tidak ada kena-mengena dengan sokongan ke atas Umno atau BN.

Bagi mereka, semasa Akta Hasutan berkuat kuasa pun sudah ada yang menghasut dengan lantang dan mencetuskan huru-hara, inikan pula sekiranya akta berkenaan dimansuhkan.
Petikan Sinar Harian

No comments:

Post a Comment