ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 3 ELEMEN PENTING PERKASA AKTA HASUTAN !!!

Monday, 1 December 2014

3 ELEMEN PENTING PERKASA AKTA HASUTAN !!!


Kementerian Dalam Negeri menggariskan tiga elemen yang akan diambil kira dalam meminda dan memperkasakan Akta Hasutan 1948 bagi memastikannya terus sesuai diguna pakai pada masa kini dan akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga elemen itu berkaitan aspek media sosial berikutan perkembangan teknologi masa kini, sensitiviti keagamaan serta isu Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa aspek lain yang perlu dilihat bagi memperkasakan akta tersebut yang akan dibawa ke dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun depan, namun tiga elemen tersebut merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius demi keselamatan dan keharmonian negara.
“Saya bersama Penasihat Undang-undang kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara dan pengamal perundangan untuk melihat beberapa aspek yang harus diperkasakan dan dipinda.
“Dalam 20 hingga 30 tahun akan datang mungkin istilah yang ada pada hari ini tidak sesuai lagi, maka ini perlu dipersesuaikan untuk generasi akan datang,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, semasa Akta Hasutan digubal, media sosial masih belum wujud, malah beberapa medium komunikasi seperti yang ada pada masa kini juga belum wujud.
Selain itu, katanya, terlalu banyak isu keagamaan yang sensitif dibangkitkan pada masa kini bukan hanya oleh orang bukan Islam berkaitan isu pokok kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga oleh orang Islam yang memburukkan agama lain.
“Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja, tindakan mesti diambil dengan segera terhadap mana-mana individu yang menyentuh agama lain dengan niat untuk memburukkannya,” tegasnya.
Kata beliau, dalam soal Sabah dan Sarawak, sudah ada tindakan oleh individu atau kumpulan yang mahu membawa keluar negeri tersebut dari Malaysia, oleh itu perkara tersebut juga perlu disentuh di bawah Akta Hasutan.
Menurutnya, apabila pindaan akta tersebut dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong serta diwartakan pada tahun hadapan, maka Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berupaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar kesalahan di bawah akta berkenaan.
Utusan.

No comments:

Post a Comment