ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JUMLAH MANGSA BANJIR DSELURUH NEGARA HAMPIR MENCECAH 200,000 ORANG

Monday 29 December 2014

JUMLAH MANGSA BANJIR DSELURUH NEGARA HAMPIR MENCECAH 200,000 ORANG


Keadaan banjir di Kelantan masih buruk dengan peningkatan jumlah mangsa sehingga 134,139 orang manakala di Terengganu, Pahang, Perak dan Johor tidak banyak berubah setakat malam ini dengan jumlah keseluruhan mangsa hampir 200,000 orang.

Selain Kelantan mempunyai 134,139 mangsa, Pahang pula mencatat 31,669 mangsa, Terengganu (24,097), Perak (7,539) dan Johor (332).

Di KELANTAN, mangsa banjir daripada 32,999 keluarga ditempatkan di 308 pusat pemindahan setakat 9 malam ini berbanding 124,966 daripada 30,131 keluarga di sebelah petang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir  iaitu 42,469 orang, Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,169), Tumpat (30,569), Gua Musang (7,529), Tanah Merah (3,546), Machang (3,097) dan Pasir Putih (192).

Di TERENGGANU, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu jumlah mangsa menurun kepada 24,097 orang malam ini berbanding 24,497 petang tadi.

Keadaan banjir di negeri itu tidak banyak berubah malam ini kecuali daerah Kuala Terengganu yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 1,450 orang daripada 770 orang petang tadi ekoran cuaca yang tidak baik.

Dungun mencatatkan mangsa hampir sama seperti sebelumnya iaitu 10,969 orang manakala Hulu Terengganu pula 171 orang.

Di PERAK, jumlah mangsa di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kerian yang terjejas akibat bencana banjir setakat malam ini, menunjukkan penurunan sebanyak 42 orang iaitu 7,539 mangsa daripada 2,001 keluarga berbanding 7,581 mangsa daripada 2,007 keluarga petang tadi.

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir meningkat kepada 4,026 orang melibatkan 1,095 keluarga berbanding 3,870 mangsa daripada 1,055 keluarga sebelumnya.

Jumlah mangsa di Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput menurun kepada 2,566 daripada 649 keluarga berbanding 2,785 melibatkan 701 keluarga sebelumnya.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 31,669 orang yang ditempatkan di 256 pusat pemindahan berbanding 31,601 orang pada pukul 8 pagi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata setakat ini lapan daerah di seluruh Pahang masih terjejas banjir manakala Temerloh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,965 daripada 1,585 keluarga.

"Jerantut (6,781 mangsa/1,566 keluarga), Kuantan(5,860 mangsa/1,585 keluarga), Pekan (4,519 mangsa/1,201 keluarga), Maran (3,729 mangsa/907), Lipis(2,729 mangsa/806 keluarga), Bera (1,061 mangsa/272 keluarga) dan Rompin (25 mangsa/6 keluarga)," katanya.

Di JOHOR, bilangan mangsa di pusat pemindahan menunjukkan penurunan dengan sejumlah 332 orang melibatkan 85 keluarga malam ini berbanding 465 orang melibatkan 117 keluarga, petang tadi, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri itu.

No comments:

Post a Comment