ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 9 GAMBAR : LEBIH 20 KELUARGA NYARIS HANYUT DI KG TIKAT KOTA BHARU

Saturday, 20 December 2014

9 GAMBAR : LEBIH 20 KELUARGA NYARIS HANYUT DI KG TIKAT KOTA BHARU




KOTA BHARU - Lebih 20 keluarga di kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) nyaris dihanyutkan air selepas tebing sungai runtuh sebelum memusnahkan tiga kediaman di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa, Raja Pisah Raja Soh, 68, berkata, ketika kejadian dia hanya berseorangan memandangkan anak dan cucunya pulang ke rumah mentua di Sungai Keladi yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

“Saya terjaga dari tidur selepas mendengar panggilan anak saudara, Raja Azlan, yang memaklumkan laluan jalan di hadapan rumah runtuh akibat limpahan ari sungai Budor dipercayai akibat penutupan pagar di rumah pam air yang menghubungkan Penambang ke dua kampung berdekatan termasuk Perupok dan Tikat.

“Lepas mendengar jeritannya, saya terus jenguk dari jendela dan mendapati keadaan rumah senget dan condong ke bahagian depan sebelum melihat limpahan air sungai yang deras dan terus menerpa masuk ke dalam rumah,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, anak saudaranya itu kemudiannya terus terjun ke dalam sungai dan menyelamatkannya yang ketika itu dalam kebingungan dan sedih akibat kejadian itu.

Raja Pisah berkata, akibat kejadian itu dia kerugian lebih RM150,000 yang bukan sahaja melibatkan kerosakan rumah malah kehilangan harta benda termasuk barang kemas, wang dan perabot.

Seorang lagi mangsa, Abdul Halim Yusof, 40, yang tinggal bersama isteri dan lima anaknya berusia antara tiga hingga 15 tahun, berkata ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dengan diikuti rumahnya bergoyang dan condong.

“Sebaik menyedari jalan di hadapan rumahnya terputus dua yang diikuti bahagian depan rumah runtuh satu persatu, saya bergegas mengejutkan seluruh ahli keluarga dan menyelamatkan diri ke belakang rumah turut dilimpahi air sungai, namun terpaksa redah walaupun paras air cecah kira-kira 2.5 meter.

“Rumah yang saya duduki itu merupakan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat dibina Kerajaan Pusat sejak dua tahun lalu dengan harga RM45,000, namun kini semuanya musnah kerana dirempuh air sungai akibat hakisan yang disebabkan banjir.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana semua anak dan isteri saya selamat walaupun harta benda tidak sempat diselamatkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment