ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JUMLAH MANGSA BANJIR DI PANTAI TIMUR MENINGKAT

Friday 19 December 2014

JUMLAH MANGSA BANJIR DI PANTAI TIMUR MENINGKAT


Ketiga-tiga negeri di pantai timur Semenanjung mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan pagi ini, dengan jumlah terbesar dicatatkan di Kelantan, daripada 8,505 orang malam tadi kepada 15,624 orang pagi ini.
Di Pahang, jumlah meningkat daripada 1,038 orang semalam kepada kepada 1,586 orang dan di Terengganu daripada 7,567 malam tadi kepada 8,595 orang pagi ini.
Menurut portal banjir kerajaan negeri Kelantan, mangsa banjir kini ditempatkan di 108 pusat pemindahan berbanding 90 malam tadi, yang dibuka di semua sembilan jajahan – Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Gua Musang, Tumpat dan Bachok.
Pusat pemindahan di SMK Ayer Lanas di Jeli bagaimanapun ditutup pagi ini.
Di Pasir Mas, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak iaitu daripada 1,628 malam tadi kepada 7,595 mangsa pagi ini dan kesemuanya kini ditempatkan di 32 pusat pemindahan antaranya di Masjid Chasi, SK Tok Uban dan SMK Kangkong.
Jumlah mangsa banjir di Kuala Krai mencatatkan sedikit peningkatan iaitu daripada 2,372 orang kepada 2,629 mangsa pagi ini dan kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan (13 pusat malam tadi) antaranya di SK Telekong, SMK Keroh, SK Sungai Embak dan SM Teknik Kuala Krai.
Dalam jajahan Tanah Merah, jumlah mangsa banjir menurun daripada 1,458 malam tadi kepada 1,429 orang pagi ini, kesemua mangsa ditempatkan di 22 pusat pemindahan antaranya SK Kulim, Madrasah Kampung Renat dan Madrasah Bendang Besar.
Di Machang, jumlah mangsa turut sedikit menurun daripada 1,458 kepada 1,316 mangsa yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan, sementara di Kota Baharu, meningkat daripada 816 malam tadi kepada 1,280 mangsa pagi ini, dan mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan (berbanding 6 pusat malam tadi).
Dalam jajahan Pasir Puteh, jumlah mangsa meningkat daripada 626 malam tadi kepada 686 mangsa pagi ini manakala di Bachok, jumlah mangsa yang dipindahkan kekal 60 orang, di Tumpat meningkat daripada 126 malam tadi kepada 545 mangsa pagi ini sementara di Gua Musang, sebanyak 84 mangsa ditempatkan di Pejabat Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Lebir.
Setakat pukul 8 pagi, paras air di lima sungai menurun namun masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.51 meter (paras bahaya 9.00 meter).
Paras air di Sungai Kelantan iaitu di Tambatan Diraja, Kota Baharu dilaporkan berada pada paras 5.34 meter (paras bahaya 5.00 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai merekodkan bacaan 25.94 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah merekodkan bacaan 17.38 meter (paras bahaya 16.00 meter).
Paras air Sungai Lebir di Gua Musang pula merekodkan bacaan 35.13 meter berbanding paras bahaya 35.00 meter. Keadaan cuaca mendung dan kadang kala hujan.
Di PAHANG, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata sebuah pusat pemindahan baharu di Pusat Bina Insan Jaya Gading turut dibuka pada pukul 11 malam tadi bagi menempatkan 48 orang daripada 12 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Jaya Gading dinaiki air.
“Lima lagi pusat pemindahan yang beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan yang menempatkan 883 mangsa daripada 235 keluarga dari Kampung Pandan 2, Chendering dan Lubuk Puyu.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Samad (320 mangsa daripada 62 keluarga) dari Taman Tas Jaya, SMK Gudang Rasau (209 mangsa daripada 47 keluarga) dari Kampung Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Seri Damai (91 mangsa daripada 31 keluarga) dari Kampung Seri Damai dan SK Kempadang (35 mangsa daripada 8 keluarga) dari PPRT Kempadang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata,hanya satu laluan utama di KM 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing ditutup kepada kenderaan ringan setelah dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Di TERENGGANU, keadaan banjir dalam lima buah daerah tidak berubah tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 8,595 pagi ini.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu, daerah Hulu Terengganu mencatat bilangan mangsa paling banyak iaitu 3,066 orang melibatkan 949 keluarga.
Ini diikuti daerah Besut 2,151 mangsa (565 keluarga), Setiu 1,746 mangsa (463 keluarga), Kemaman 850 mangsa (246 keluarga) dan Dungun 778 mangsa (215 keluarga).
Sebanyak 114 buah pusat pemindahan di Terengganu telah beroperasi iaitu 22 di Besut, 19 di Dungun, 37 di Hulu Terengganu, 19 di Kemaman dan 17 di Setiu.
Sementara itu, bacaan paras air sungai di beberapa batang sungai utama di negeri ini mencatatkan kenaikan dan berada di tahap bahaya – Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Marang 3 meter (bahaya 2.77 meter), Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu 24.02 meter (bahaya 24.50 meter) dan Sungai Besut di Jambatan Keruak 35 meter (bahaya 34.26 meter).

Paras air di sungai-sungai yang lain dilaporkan sedang meningkat berikutan cuaca buruk dan masih berlaku hujan lebat di beberapa kawasan.

No comments:

Post a Comment