ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERKINI BANJIR DI PANTAI TIMUR

Saturday, 20 December 2014

TERKINI BANJIR DI PANTAI TIMUR


Keadaan banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kini menjejaskan lebih ramai penduduk.

Sehingga jam 7 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang meningkat kepada lebih 26,000 orang.

Kelantan terus mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi dengan 14,638 orang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, kesemua mangsa banjir di negeri tersebut kini ditempatkan di 98 buah pusat pemindahan di sekitar daerah Jeli, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sementara itu, mangsa yang terjejas akibat banjir di Terengganu juga meningkat kepada 10,205 orang berbanding 901 pada Khamis malam.

Ia melibatkan seramai 2,932 buah keluarga yang ditempatkan di 135 pusat pemindahan sementara di daerah Besut, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Bagi negeri Pahang pula, mangsa banjir setakat ini sudah mencatatkan seramai 1,765 orang daripada 436 keluarga dan kesemua mereka ditempatkan  di tujuh pusat pemindahan di Kuantan.

Sehingga kini, bencana banjir di Pantai Timur telah mengorbankan dua nyawa.

Dalam perkembangan berkaitan, hujan lebat juga dikhuatiri membawa bencana lain seperti tanah runtuh.

Petanda awal telahpun berlaku di Jalan Tasik Kenyir kira-kira 30km dari Kampung Basung lewat petang Khamis dengan kesan runtuhan tanah, bongkah batu dan batang-batang pokok menghalang laluan.

Insiden yang bertambah buruk menjelang jam 9 malam itu membuatkan jalan berkenaan yang menghala ke Felda Aring dan Gua Musang terpaksa ditutup.

Begitupun, sisa runtuhan tersebut telahpun berjaya dibersihkan dan laluan itu sudah kembali digunakan hari ini.

No comments:

Post a Comment