ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PM @NajibRazak TINJAU KEADAAN SEMASA GUA MUSANG SELEPAS BANJIR

Tuesday 30 December 2014

PM @NajibRazak TINJAU KEADAAN SEMASA GUA MUSANG SELEPAS BANJIR


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa tiba di jajahan Gua Musang bagi meninjau kesan yang dialami penduduk setempat ekoran bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa beliau berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Baharu dan tiba di Pusat Sivik Gua Musang di sini pada kira-kira 11.45 pagi.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamed, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Ab Aziz Yusoff serta beberapa pegawai kanan kerajaan..
Perhentian pertama beliau ialah di kuarters kerajaan di Kampung Baru Hulu, Jalan Kesedar Inn, dengan Najib menghabiskan masa selama 15 minit melihat sendiri keadaan kediaman penduduk setempat dan mendengar rintihan mereka ekoran banjir.
Kemudian, beliau bergerak untuk meninjau keadaan penduduk Kampung Baru Hilir yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina.
Selepas itu Perdana Menteri berhenti sebentar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang bagi mendengar taklimat daripada pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai bantuan kemanusiaan berupa makanan, tilam, selimut, dan ubat-ubatan dalam dua kontena untuk dihantar kepada mangsa banjir di Kelantan.
Beliau kemudian mengambil beberapa kotak bekalan makanan dari kontena itu untuk disampaikan kepada Tengku Razaleigh sebagai tanda penyampaian bantuan biro bermula secara rasmi.
Kemudian Najib terus bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1, dan kehadiran beliau disambut dengan sorakan 'Hidup PM' oleh ratusan mangsa yang sedang berlindung di situ.
Meluangkan masa sekitar 20 minit di situ, Perdana Menteri sempat bertanya khabar dengan mangsa-mangsa banjir, dan beliau berjanji kebajikan mereka akan tetap terjaga.
Kemudian, Najib bergerak kembali ke Pusat Sivik Gua Musang pada pukul 1.05 tengah hari untuk menaiki helikopter bagi meninjau keadaan semasa di jajahan Kuala Krai.

No comments:

Post a Comment