ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KERAJAAN TERENGGANU NAFI AKAN LEPASKAN AIR EMPANGAN TASIK KENYIR

Thursday 18 December 2014

KERAJAAN TERENGGANU NAFI AKAN LEPASKAN AIR EMPANGAN TASIK KENYIR


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya paras air di empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu berada pada paras bahaya dan akan dilepaskan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata paras air di Empangan Tasik Kenyir masih berada pada paras normal.

“Saya baharu sahaja dimaklumkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menafikan khabar angin itu, sebaliknya TNB mengesahkan keadaan air di empangan masih terkawal.

“Air di empangan itu sehingga kini tidak dilepaskan sepertimana yang didakwa pihak tertentu melalui media sosial dan jangan mempercayai berita palsu,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Nelayan dan Persatuan Penambang Seberang Takir di sini hari ini.

Seramai 350 nelayan termasuk pengusaha bot penambang di Seberang Takir menerima bantuan RM200 setiap seorang yang bertujuan meringankan beban mereka yang kehilangan mata pencarian sepanjang musim tengkujuh ketika ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri sudah bersetuju untuk menambah peruntukan di beberapa daerah yang dilanda banjir ketika ini, mengikut keperluan di kawasan terbabit.

“Semalam, saya telah meluluskan peruntukan tambahan di Hulu Terengganu sebanyak RM300,000 yang akan dibelanjakan mengikut keperluan termasuk membeli bot-bot baharu dan enjin bot untuk memudahkan kerja memindahkan penduduk yang terjejas banjir.

“Sebelum itu, kita luluskan peruntukan segera untuk daerah Kemaman sebanyak RM400,000 untuk tujuan sama agar kerja menyelamat berjalan lancar,” katanya.

No comments:

Post a Comment