ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PASPORT ALVIN TAN DIBATALKAN

Sunday 7 December 2014

PASPORT ALVIN TAN DIBATALKAN

Kuala Lumpur – Pasport Antarabangsa Alvin Tan, penulis blog yang menghina Islam dan mencaci Sultan Selangor, akan dibatalkan berikutan tindakannya boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tindakan membatalkan pasport milik penulis blog itu dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan ia akan dilakukan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak imigresen boleh membatalkan pasport Alvin yang kini dipercayai berada di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Dibawah Akta Imigresen kita punyai kuasa untuk pembatalan. Pasport bukan hak individu tetapi negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu bertepatan dengan tindakan Alvin, atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, yang melarikan diri dari Malaysia dan daripada undang-undang negara bagi mendapatkan perlindungan politik setelah melakukan pelbagai kenyataan kontroversi yang mampu menjejaskan hubungan antara kaum.

Dengan membatalkan pasport antarabangsanya, Alvin akan hilang kelayakan untuk berada di mana-mana lokasi di luar negara kerana tidak lagi mempunyai keizinan atau kebenaran daripada negara asal.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa semua pihak wajar memahami bahawa hak memiliki pasport adalah milik negara, bukannya individu.

Tambahnya, negara mempunyai kuasa untuk membatalkan dokumen perjalanan mana-mana individu yang dikenal pasti melanggar Akta Imigresen.

Ahmad Zahid ditemui semasa melancarkan Skuad Taktikal Khas 3 (STAGG) Polis Diraja Malaysia di Kepong di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika dihubungi Astro AWANI, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata pihaknya sedang meneliti prosedur sedia ada berhubung pembatalan pasport Alvin.

"Kami sedang meneliti prosedur (pembatalan pasport) sedia ada dan akan maklumkan kepada pihak media," katanya.

Jelas Mustafa, pihaknya kini sedang mengadakan mesyuarat bersama pegawai berkenaan berhubung perkara tersebut.

Tambahnya, sidang media akan diadakan pada 12 tengahari Isnin bagi menjelaskan prosedur pembatalan pasport.
astroawani

No comments:

Post a Comment