ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: INGATAN PADA BOS-BOS GLC BERGEMA DI #PAU2014

Tuesday 2 December 2014

INGATAN PADA BOS-BOS GLC BERGEMA DI #PAU2014


Walaupun Perhimpunan Agung UMNO sudah berakhir petang Sabtu lalu ada diantara pembahas yang telah memberi hujah-hujah yang perlu diberi perhatian. Antaranya seperti yang dibawa sampaikan oleh Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Jamelah Bakar.

Bekas wartawan yang kini seorang usahawan berjaya itu antara lain mengingatkan bos-bos syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar sedar siapa mereka dan berundur jika gagal jaga dan bantu kepentingan Melayu.

Katanya penubuhan GLC diamanahkan untuk meningkatkan prestasi kemajuan negara di bawah pengawasan kerajaan. Namun begitu didapati ada di kalangan peneraju GLC yang terdiri daripada profesional Melayu sudah lupa peranan mereka dan peranan GLC.

Beliau juga membangkitkan mengenai kadar sewa yang terlalu mahal di KLIA2 sehingga mencekik usahawan Melayu.

BERIKUT IALAH TEKS UCAPAN PENUH DATUK JAMELAH BAKAR KETIKA BERUCAP PADA 27 NOVEMBER MEMBAHASKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO


EKONOMI DAN USAHAWAN

Saya, Jamelah A. Bakar mewakili Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia berucap membahas ucapan Dasar YAB Presiden Parti.

Assalamualaikum Pembuka Bicara,Salam Sejahtera Penyambung Kata,Selamat Berhimpun Saudari Saudara,

Yang Jauh Dan Dekat Datang Merata.Merzahir Pendapat Meluah Rasa Dahan Beringin Sarang Tempua, Hormat Dan Salam Perwakilan Semua,Teguh Perjuangan Himpunan Kita, Mohon Izin Mula Bicara.

YAKINILAH KEPADA UMNO

Para Perwakilan Yang Dirahmati ALLAH SWT

1. YAKINILAH UMNO. Itulah tajuk muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia 23 November 2014; hasil dari wawancara khas Ketua Pengarang akhbar itu bersama pasukan beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO dengan Presiden Parti kita.

Kesimpulannya, wawancara tersebut serta tajuk besarnya menyatakan dengan jelas yakini UMNO, yakini orang Melayu dan yakini parti Melayu yang selama ini memerintah negara.

2. Kita, rata-rata di dalam dewan ini percaya, faham dan yakin akan fakta ini, melainkan mereka yang di luar sana masih terus mempersoal dan memutar belitkan isu yang sebenarnya jelas dan difahami mereka.

Sejarah telah membuktikan UMNO dan MELAYU yang mengetuai barisan menuntut kemerdekaan, berjuang habis-habisan, menentang ancaman komunis dan kemudian membina persetujuan kesatuan kaum-kaum lain dalam parti yang dinamakan Perikatan dan kini Barisan Nasional.

UMNOlah tunjangnya dan MELAYUlah Sidang Perwakilan Sekalian,

3. Wanita UMNO ingin menarik perhatian tentang fakta bahawa satu-satunya bangsa dalam dunia yang terus mendokong dan berikat kukuh dengan Islam dan termaktub dalam perlembagaan negara adalah orang Melayu dan parti Melayu. Kita semua bersyukur dilahirkan Melayu dan beragama Islam, yang bertunjangkan Al-Qur’an dan Al-Sunnah yang menjadi teras hidup dan mati

4. Tanggungjawab kita semua ialah menjaga dan memelihara kesucian yang diamanahkan ini tanpa berbelah bagi. Mari bersama bangunkan jiwa dan bersyukurlah, segala nikmat sejak zaman Melaka hingga ke Zaman Merdeka sehinggalah kini adalah kurniaan

rahmat dengan keizinan Allah Subhawataala Para Perwakilan Yang Dikasihi,

5. Ingatlah segala kemewahan, kenikmatan, kemakmuran serta kejayaan mungkin pula akan punah sekelip mata. Kita semua pasti menyesal apabila ini berlaku kerana kita jua lah yang mengizinkannya, kita yang membenarkan, kita juga yang merencana,sebab itu ia berlaku.

6. Bahasa Melayu telah digunakan oleh lebih 3 ratus juta manusia di dunia ini dan semakin meningkat. Tidak mustahil satu hari bahasa ini akan menjadi bahasa perantara ASEAN, Asia malah dunia juga. Saya mengingatkan orang Melayu dan pemimpin Melayu bahawa Bahasa dan Bangsa Melayu kita yang menentukan martabat kita. Tidak Melayu hilang di dunia bukanlah klishe hikayat tetapi fakta makrifat.

KINI MELAYU DIHINA DAN DICERCA

Para Perwakilan Yang Setia,

7. Saya ingin menarik perhatian tentang ada manusia yang tidak berperikemanusiaan, yang semudah-mudahnya dengan suka-sukanya menghina Melayu dan ada Melayu sendiri dengan sewenang-wenangnya tanpa berfikir panjang bersama dengan orang lain turut serta menghina Melayu dan jauh lebih biadap menghina kedaulatan Raja-Raja Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

8. Fikirkan dan amati serta hayati pantun yang dikarang demi Melayu.

Tegak berdiri si gunung tahan,

Lambang bangsa gagah perkasa,

Hak Melayu wajib dipertahan,

Berjuang habis-habisan demi bangsa

Mudik ke hulu berenang ke tepian,

Tenggelam timbul meniti zaman,

Awalnya perjuangan kini pengisian,

Pantang Melayu jadi cemuhan.

Berganding tangan rakyat sejagat,

Bersatu bersama semangat jati,

Perhimpunan UMNO, pencetus semangat

Pakatan MELAYU tersimpul mati.

Para Perwakilan Yang Dihormati,

9. Kita imbas pada 16 September 2011 Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Ordinan Darurat (EO) telah dimansuhkan.

10. Syukur kita masih ada Akta Hasutan.

Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendesak dan menyokong agar kerajaan mempertahan dan menambahbaik Akta Hasutan ini. Dengan memasukkan perkara seperti kedaulatan ISLAM dan kebebasan agama lain yang telah termaktub dalam perlembagaan termasuk, Raja Berpelembagaan agar tidak disentuh dan dijadikan isu perkauman. Kerana semua aspek ini, jika disentuh boleh malah pasti menggugat keamanan dan kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

11. Kita mengulangi pendirian, kesemua pengkhianat bangsa Melayu dan bukan Melayu yang memaki hamun dan menfitnah pemimpin negara disumbat ke dalam penjara. Ke mana pun mereka mesti dicari hingga ke lubang cacing. Kerajaan mesti memastikan kerakyatan mereka dilucutkan serta merta. Mereka yang bersekongkol dikenakan hukuman yang setimpal sesuai dengan kesalahan mereka. Malaysia adalah sebuah negara yang bebas, aman, malah menjadi lubuk EMAS kepada rakyat asing tahu menilai dan menghargai negara kita.

12. Para Perwakilan yang berjasa, adakah kita rela melihat negara kita turut kucar kacir, kacau bilau kerana hasutan mereka yang tidak bertanggungjawab ini?

13. Mari kita pastikan mereka mendapat balasan setimpal sesuai dengan kesalahan mereka.

Tolong jawab, tepuk dada, tanyalah jiwa merdeka tuan-tuan semua.

14. ISA & EO sudah mati. Ini menyebabkan judi haram berleluasa di seluruh negara. Apabila Akta Hasutan dimansuhkan maka kita yang memerintah negara terpaksa tunduk kepada tekanan dan bertolak ansur secara keterlaluan. Bangsa bukan Melayu mulai menunjukkan belang. Sekarang ini 20 ribu premis perjudian haram disahkan di seluruh negara, yang pastinya taukehnya bukan Melayu dan pelanggannya adalah Melayu.

15. Kita tidak boleh bertoleransi lagi dengan memansuhkan Akta Hasutan demi menyelamat dan menjamin keselamatan

EKONOMI DAN USAHAWAN

Para Perwakilan Yang Dirahmati Allah

16. Lawatan kerja ke KLIA 2 baru-baru ini yang diketuai oleh Pengerusi PUNB, YBTan Sri Ali Rustam dengan mengunjungi restoran yang beroperasi di situ. Dalam tinjauan itu, didapati sewa yang dikenakan ke atas pengusaha restoran adalah terlalu tinggi dari RM25 ribu sebulan dengan keluasan 612 kaki persegi sehingga ada yang mencecah RM300,000 sebulan.

Harga sewaan ini terlalu tinggi dan perlu dibayar sebaik sahaja mereka memulakan operasi walaupun KLIA2 baru beroperasi, dan masih belum ramai pengguna. Mereka kini sedang mengalami kerugian dan mungkin tidak lama lagi ramai yang akan gulung tikar, nazak dan lari malam.

17. Wanita mengesa supaya ruang dan peluang diberi oleh Malaysia Airport Berhad kepada usahawan-usahawan berbangsa Melayu.

Perlu diingatkan usahawan Melayu ini telah memberi sumbangan yang besar ke arah kejayaan pembukaan KLIA2. Wanita menggesa Malaysia Airport Berhad menurunkan kadar sewaan yang terlalu tinggi mungkin untuk 3 bulan pertama, kepada separuh sewaan dan seterusnya kepada kadar sewa yang berpatutan sesuai dengan kadar pasaran.

18. Alhamdulilah masih ada usaha Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, MARA yang bertanggungjawab menambah bilangan usahawan Melayu kecil. Ini adalah sesuatu yang amat dihargai. PUNB juga pada masa yang sama memainkan peranan yang amat besar membantu usahawan Melayu peringkat pertengahan. Telah ada orang Melayu yang membuka Tadika di KLCC, mencuci kapalterbang dan membuka syarikat-syarikat membaiki kenderaan Dan kini berhasrat menambah lagi jumlah golongan usahawan Melayu pertengahan.

Diharapkan dana tambahan dapat diberikan kepada insitusi tersebut amnya dan PUNB khasnya. Wanita juga ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri dan warga Equinas kerana berjaya melahirkan usahawan di peringkat yang lebih .

19. Penubuhan GLC diamanahkan untuk meningkatkan prestasi kemajuan negara di bawah pengawasan kerajaan. Namun begitu didapati ada di kalangan peneraju GLC yang terdiri daripada profesional Melayu sudah lupa peranan mereka dan peranan GLC.

Syarikat Telekomunikasai yang besar mengambil tenaga luar negara dengan gaji lumayan. Kita beranggapan mereka ini hilang jati diri. Mereka mempunyai agenda tersendiri sehingga mengenepi hak orang yang sepatutnya dibantu. Berbillion ringgit diberikan namun mereka membiarkan diri dikawal ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan Pasaraya-pasaraya seperti Giant liat untuk memberi tapak perniagaan kepada Melayu/ Bumiputera. Ahli2 Lembaga Pengarah yang dilantik yang sudah layu dan lesu harus diberhentikan atau diganti.

20. Sedarlah, wahai Melayu pemimpin tertinggi GLC, Syarikat anda mempunyai kepentingan membantu Melayu/Bumiputera. Jika anda gagal, tersasar dan terlupa mengapa anda diletakkan di situ, berundurlah secara terhormat atau diundurkan kerana matlamat bangsa kita lebih penting daripada matlamat.

AGENDA TERSIRAT

Para Pemimpin Melayu Yang Bersemangat Waja. Pesanan jelas dari akar umbi yang mahukan pemimpin semestinya Melayu yang bersemangat, Melayu berkarisma, amanah dan berwibawa agar mereka dapat terus mempertahankan UMNO serta pemimpinnya daripada serangan puak yang mempunyai agenda tersembunyi.

Para Perwakilan Yang Dihormati

22. Terlalu banyak isu yang diputar belitkan pembangkang, contohnya isu 1 MDB.Pemimpin mesti bersuara dengan lantang mempertahankan fakta yang sebenar.

Seperti yang dihurai oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalannya.

Pemimpin parti bercakap bagi pihak rakyat dan Parti. Rakyat memerlukan kefahaman dari pemimpin. Pemimpin perlu turun padang dan berhadapan dengan rakyat. Kita mesti mempunyai ilmu yang cukup untuk memperjelaskan mengenai isu yang diputarbelitkan itu.

23. Wanita ingin mengesyorkan, setiap cawangan dan bahagian UMNO seluruh negara supaya melanggan naskhah akhbar utama di pejabat masing-masing dan bacalah untuk dijadikan tabiat membaca akhbar utama yang menyiarkan fakta sebenar mengenai apa yang telah diputarbelitkan.

24. Biro Penerangan UMNO di setiap bahagian perlu melantik orang media sebagai ahli jawatankuasa, tidak kira sama ada yang bekerja atau pencen. Yang penting, ilmu mereka dapat membantu kita supaya, kedua-kua pihak dapat bekerjasama memberi maklumat dan kenyataan yang tepat kepada ahli masyarakat.

25. Pemimpin kita, Allahyarham Tun Abdul Razak. setiap pagi membaca ruangan ‘Surat Dari Pembaca’ dengan izin ‘Letters to the Editor’ setidak-tidaknya yang terkandung dalam surat khabar utama kerana beliau mahu mendengar suara hati rakyat. Beliau ingin mengetahui masalah rakyat. Beliau mengarahkan setiap tindakan diambil dan diberi perhatian yang mendalam dan sangat. Orang dulu mengadu melalui surat, orang sekarang mengadu melalui FACEBOOK, WhatsApp, Twitter, Blog, Email. Kedua-dua medium utama ini perlu diberi perhatian.

Wanita ulangi, suara rakyat, suara akar umbi patut diberi perhatian sewajarnya. Mereka adalah golongan yang memerlukan perhatian kerana kesetiaan mereka kepada parti, kepimpinan dan negara.

PERANAN MEDIA

Para Perwakilan Yang dihormati, Wanita UMNO sedar ada sekumpulan penyokong setia kepada parti dan kerajaan di dalam bidang media. Kita bergantung harap kepada mereka untuk mendapatkan berita terkini, berita yang kita tidak boleh kita capai yang berlaku di tempat kejadian.

Mereka adalah golongan media yang bekerja siang dan malam tidak kira hujan atau panas ibarat di medan perang, mereka bekerja di pedalaman, dalam dunia realiti kehidupan.

Hari ini ratusan mereka, berkampung di PWTC, di bilik media akhbar masing-masing dan mereka juga berada di dalam dan luar dewan, di setiap penjuru untuk memberi laporan terkini kepada rakyat.

28. Wanita ingin mencadangkan, dalam cabaran dunia media sekarang, PENUBUHAN MAJLIS MEDIA KEBANGSAAN yang sudah dibincang sejak tahun70-an tetapi masih tidak direalisasikan. Para wartawan harus diiktiraf, sebagai kumpulan profesional yang diakreditasikan oleh majlis media ini.

29. Bagi membezakan wartawan profesional dengan yang bukan professional, kemunculan media baru telah mewujudkan golongan wartawan tidak profesional yang berjaya menghasut dan mempengaruhi rakyat khususnya orang yang terpukau dengan peralihan teknologi media kini.

Malaysia perlu menubuhkan SEGERA majlis ini dan suka dinyatakan beberapa negara jiran telah menubuhkan Majlis Media Kebangsaan masing-masing.

GEJALA SOSIAL ANCAMAN BANGSA MELAYU

Para Perwakilan Yang Prihatin,

30. Wanita melihat agenda yang mengasak kelangsungan bangsa kita ialah ketahanan mental dan ‘Jati Diri’ orang Melayu.

Kelemahan ini kini sangat jelas. Bilangan orang Melayu yang terjebak dalam gejala sosial khususnya penyalahgunaan dadah, mengidu gam, menghidu tahi lembu, pesta arak, rempit sehari semalam, hubungan seks rambang, kecelaruan jantina dan jangkitan HIV AIDS kian meningkat dari tahun ke tahun. Sebenarnya gejala tidak normal ini akan menghancurkan ketamadunan negara bangsa yang sama-sama kita bangunkan.

31. Apakah kita semua mahu melihat perkara Ini berterusan? Agenda tranformasi negara, Wawasan Negara 2020 semua akan punah dalam sekelip mata jika jati diri Melayu hilang. Kita risau.Kita bimbang tetapi tiada tindakan yang serius. Majlis Sosial Negara hanya melihat isu sosial ini secara keseluruhan sahaja.

BAGAIMANA UMNO LIHAT ISU DADAH INI?

32. Kepekaan kita terhadap isu dadah khususnya mencegah sebelum parah, seperti melepas batuk di tangga dan kurang mendapat perhatian di kalangan pemimpin kita.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, dari Januari hingga Ogos 2014, orang Melayu yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 ialah 82,329 orang, Tahun 2013 pula 120,392 orang.

33. DADAH merupakan isu kritikal, pemusnah mental dan rohani manusia. Bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia dadah menjadi ancaman besar. Sehubungan dengan ini, Pergerakan Wanita UMNO memohon jasa baik Presiden Parti merangkap Perdana Menteri Malaysia memberi perhatian serius terhadap perkara ini.

34. Selaku wartawan di awal kerjaya, saya mengenal Allahyarham Datuk Idris Ibrahim, seorang pejuang bangsa Melayu yang gigih mengajak negarawan kita Allahyarham Tun Abdul Razak mengenalpasti dadah sebagai masalah besar yang mengancam orang Melayu. Allahyarham Tun Abdul Razak telah menyediakan platform terbaik membanteras DADAH.

Pada 22 Mac 1976 tertubuhlah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang dirasmikan oleh Allahyarham Tun Hussien Onn. Kini Persatuan ini perlu diperhebatkan peranannya dan ditingkatkan kekuatannya.

ISU PENDATANG ASING

Para Perwakilan Yang Dihormati

35. Pergerakan Wanita UMNO memandang serius isu kebanjiran pendatang haram ke negara ini. Kita berharap satu tindakan yang menyeluruh dapat dilakukan untuk membendung kemasukan dan kegiatan mereka di negara ini.

36. Kita tidak mahu peristiwa banjir di Cameron Highland akibat pertanian haram oleh rakyat asing berulang. Kita tidak mahu peniaga Melayu terpinggir akibat kebanjiran pendatang asing yang mengambil kesempatan berniaga.

37. Pendatang asing menyebabkan isu kesihatan yang serius mula menimpa negara semula seperti penyakit malaria dan TIBI. Jumlah pesakit warga asing kian bertambah menjadikan hospital kerajaan padat sekarang ini dan warganegara Malaysia sendiri bersesak untuk mendapat peluang rawatan yang sewajarnya.

38. Jumlah pendatang asing yang tidak dapat didaftarkan juga semakin bertambah. Malah bilangan pendatang asing sebagai penghuni penjara juga kian bertambah.

PENGERUSI ASEAN 2015

39. Pergerakan Wanita UMNO Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri dan juga Presiden parti yang terpilih menjadi Pengerusi ASEAN untuk tahun hadapan. Pergerakan Wanita UMNO juga berharap dengan perlantikan ini Wanita UMNO diberi peluang menjadi sebagai fokal point dalam agenda sosio-politik dan keusahawanan wanita di peringkat negara dan rantau ASEAN.

KERUSI MENTERI UNTUK WANITA

Para perwakilan yang dirahmati Allah SWT

40. Wanita ingin menyampaikan kepada YAB Presiden dan Timbalan Presiden Parti bahawa sokongan dan kesetiaan kami terhadap Parti tidak perlu diragui. Hargailah dan berilah pengiktirafan yang sewajar kepada kami. Kembalikan tradisi Jawatan Menteri Penuh dalam Kabinet Malaysia kepada Wanita UMNO.

Sebagai penutup:

Teguh bangsa kerana budi

Teguh budi kerana agama

Teguh Melayu harapan murni

Teguh agama harapan bangsa

Biar mati berkandung tanah,

Biar titi berpatah dua,

Jiwa Melayu tidakkan musnah,

Di dalam air berjuang juga.

PERJUANGAN BANGSA TAK PERNAH LELAH

MINDA MELAYU BIJAK BERKARYA

YANG BAIK ITU DARI ALLAH

YANG KURANG ITU DARI SAYA

SAYA DENGAN INI MOHON MENYOKONG

UCAPAN DASAR PRESIDEN PARTI

SEKIAN, WABILLAH HITAUFIK WAL HIDAYAH

WASSALAMUALAIKUM WRT WBT

No comments:

Post a Comment