ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ESSCOM KOMITED BENDUNG KEMASUKAN PATI

Friday 5 December 2014

ESSCOM KOMITED BENDUNG KEMASUKAN PATI

ESSZONE

KOTA KINABALU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) komited untuk memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, terutama membendung kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) di sepanjang pantai timur Sabah.

Pengarah Awam ESSCOM, Ruji Ubi, berkata ESSCOM sentiasa siap sedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan seperti yang terkandung dalam laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing di Sabah.

"Kita sentiasa komited untuk menjayakan misi kerajaan menangani masalah pendatang tanpa izin secara holistik di Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, mengumumkan laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah' di sini.

Ali dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan berkaitan beberapa perkara yang disentuh oleh Suruhanjaya.

Beliau berkata, ini termasuk penubuhan ESSCOM tahun lepas yang berperanan memantapkan keselamatan dan kedaulatan negara daripada kumpulan-kumpalan yang mengancam keselamatan negeri Sabah termasuk kemasukan PATI.

Ali juga dipetik sebagai berkata, sejak tahun 2012 sehingga akhir November tahun ini, seramai 40,645 pendatang tanpa izin telah diusir keluar dari Sabah.

Daripada jumlah itu, 29,981 adalah pendatang dari Filipina, 10,055 pendatang dari Indonesia dan 618 pendatang dari negara-negara lain.

Sementara itu, Ruji menyambut baik pengumuman laporan RCI yang menurutnya membuktikan kerajaan bersifat terbuka dan serius dalam mencari jalan penyelesaian terbaik masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Beliau berkata, laporan RCI itu akan membawa lembaran baru dalam konteks keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

ESSCOM diwujudkan pada 1 April 2013 selepas berlakunya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu awal tahun yang sama.

ESSZONE merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

No comments:

Post a Comment