ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: USTAZ KAZIM STABIL SELEPAS RAWATAN ANGIOGRAM KEDUA

Thursday 25 February 2016

USTAZ KAZIM STABIL SELEPAS RAWATAN ANGIOGRAM KEDUA

IPOH – Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias kini berada dalam keadaan stabil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ di sini, selepas menjalani rawatan angiogram kedua semalam.

Abangnya Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata rawatan itu dilakukan susulan nasihat doktor pakar kerana saluran kedua jantung Mohd Kazim sudah 99 peratus tertutup dan saluran ketiga pula tertutup 50 peratus.

“Pada mulanya, sebagai ketua keluarga, saya tidak bersetuju rawatan itu dilakukan kerana keadaan adik saya agak kritikal kerana baru sahaja menjalani rawatan angiogram pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Doktor pakar di HUSM memberitahu rawatan angigoram kedua boleh dibuat selepas enam minggu namun, melihatkan keadaan adik saya, doktor di sini sarankan rawatan itu dijalankan segera bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita di hospital itu hari ini.

Beliau berkata rawatan angiogram kedua itu dilakukan pada 5 petang tadi dan sejam kemudian Mohd Kazim ditempatkan di wad ICU.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok kira-kira 9.30 malam Jumaat lepas.

Sehubungan itu, Mohd Najmuddin yang juga Pegawai Penerangan Hal Ehwal Agama Islam Pejabat Menteri Besar Perak meminta mereka yang mengenali Mohd Kazim supaya tidak menziarahinya buat sementara waktu bagi membolehkannya menjalani rawatan dan pemulihan secukupnya.

“Doktor juga memaklumkan Ustaz Kazim tidak boleh membaca surat khabar kerana apabila baca, pemikirannya akan menganggu kesihatan, apatah lagi kalau kita datang untuk berbual atau bertanya menyebabkan fikirannya terganggu dan tempoh untuk sembuh akan memakan masa,” katanya.

Menurutnya Mohd Kazim mengalami masalah jantung berikutan sakit kencing manis, yang dialaminya sejak 10 tahun lepas, agak teruk selain sering meluangkan masa dengan ramai orang.

“Beliau banyak menerima udangan untuk berceramah termasuk di Singapura, Brunei, Thailand dan Australia tanpa mengira hal kesihatannya dan sumbangan yang diterimanya digunakan untuk Pusat Islam Al-Barakah yang dikendalinya.

“Tarikh dia berceramah di Sabah baru-baru ini, waktu itu adalah tarikh temu janjinya dengan doktor untuk pemeriksaan kencing manis tetapi dia tidak mahu menangguhkan program walaupun ketika itu beliau telah merasai simptom penyakit itu,” katanya.

Berikutan keadaan adiknya itu, Mohd Najmuddin berkata beliau akan menggantikan tempat Mohd Kazim buat sementara waktu.

“Saya bersetuju untuk menggantikan beliau pada program ceramah yang telah dipersetujui. Saya berhajat membantu adik saya kerana semua sagu hati dari orang ramai dan penganjur akan disumbangkan kepada Pusat Islam Al-Barakah,” katanya. 
AstroAwani

No comments:

Post a Comment