ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KEBOCORAN RAHSIA KERAJAAN AGAK SERIUS BERLAKU

Thursday 11 February 2016

KEBOCORAN RAHSIA KERAJAAN AGAK SERIUS BERLAKU


SHAH ALAM - Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyokong keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali agar mengkaji semula hukuman berkaitan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Menurutnya, perkara itu adalah keperluan mendesak untuk waktu ini susulan kebocoran rahsia rasmi kerajaan yang agak serius berlaku, sejak kebelakangan ini.

“Memang (ada) keperluan untuk meminda OSA dalam keadaan zaman sekarang ini...memang keperluan yang mendesak. Terlalu banyak dokumen-dokumen rasmi kerajaan yang boleh dibocorkan dengan mudah,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan dan memetik Mohamed Apandi berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan dan negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.

Beliau juga dilaporkan melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah sementara wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka peroleh juga boleh dikenakan tindakan itu.

Dalam pada itu, Mohd Khairul berkata, risiko penyebaran rahsia kepada pihak yang salah dan tidak faham hanya akan menyebabkan spekulasi demi spekulasi terbit.

“Tujuannya adalah untuk mengehadkan penyebarannya. Mereka yang perlu tahu sahajalah yang perlu mengetahui sesuatu perkara itu tetapi apabila penyebarannya adalah tidak terkawal, orang yang tidak berhak tahu pun tahu juga, maka apabila orang ini mengetahui sesuatu yang mereka tidak faham, maka dia akan buat spekulasi. Jadi, itulah rasionalnya dalam keadaan sekarang ini,” katanya.

Beliau juga tidak menolak pandangan Mohamad Apandi pindaan OSA untuk menambah hukuman terhadap pihak yang mendedahkan maklumat kepada pihak ketiga.

“Cuma, agak pelik saranan pindaan itu dibuat sendiri oleh peguam negara. Kebiasaannya peguam negara tidak mendahului apa-apa cadangan untuk meminda apa-apa undang-undang.

“Saya setuju pindaan OSA dibuat mengikut keperluan semasa. Cuma itu sahajalah yang agak pelik sedikit. Kenapa peguam negara yang tiba-tiba dominan pula dalam hal ini?,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment