ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENDAKWAH TERKENAL SOKONG DEBAT DR ASRI – ZAMIHAN DIADAKAN

Saturday 6 February 2016

PENDAKWAH TERKENAL SOKONG DEBAT DR ASRI – ZAMIHAN DIADAKAN


SHAH ALAM – Pendakwah terkenal, Syed Abd Kadir Syed Hussin Aljoofre menyokong debat di antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jammah(Aswaja), Zamihan Mat Zin diadakan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah lebih sesuai sekiranya sesi debat berkenaan dilaksanakan secara tertutup dan dihadiri ilmuwan agama.

“Debat ini lebih sesuai dibuat secara tertutup kerana kita bukannya mencari kemenangan tapi kebenaran.

“Kalau dibuat secara terbuka ia hanya bertujuan untuk menaikkan populariti masing-masing dan bukan untuk mencari kebenaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya niat kedua-dua pihak adalah untuk mencari kebenaran, ia akan memberi kebaikan kepada umat Islam khususnya di negara ini.

Tambahnya, isu melibatkan umat adalah terlalu meluas dan sekiranya tidak diuruskan dengan sempurna, ia dibimbangkan akan menimbulkan kekeliruan khususnya kepada golongan muda.

Dalam pada itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din memaklumkan bahawa setiap pihak perlu mengetahui terlebih dahulu tujuan penganjuran debat yang bakal diadakan pada Rabu Depan bagi menggelakkan berlakunya salah faham.

Menurutnya, jika dalam sesi berkenaan setiap pihak hanya berdebat untuk mencari kemenangan, ia merupakan satu tindakan yang sia-sia memandangkan tiada istilah berkenaan dalam isu keagamaan.

“Kalau sekadar semata-mata nak nyatakan pendapat, tak perlu debat. Benda Khilaf ini takkan selesai kerana melalui debat mereka hanya nyatakan pandangan masing-masing,”katanya. 
SH

No comments:

Post a Comment