ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 'TIADA AHLI POLITIK DALAM BANK NEGARA' - DR ZETI

Thursday 18 February 2016

'TIADA AHLI POLITIK DALAM BANK NEGARA' - DR ZETI



Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ahli politik tidak boleh menerajui institusi kewangan berkenaan.

Katanya mana-mana individu yang akan menerajui sebuah institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) mestilah bebas daripada agenda politik dan dapat bertindak demi kepentingan negara.

"Setiap negara memerlukan organisasi seperti bank pusat yang tidak mempunyai sebarang agenda politik. Ia harus kekal fokus memastikan kestabilan makroekonomi, kewangan dan ekonomi.

"Jadi dasar ekonomi dan kewangan akan ditumpukan untuk mencapai apa yang menjadi kepentingan terbaik negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Platform Akaun Pelaburan (IAP) di sini, Rabu.

Selain itu Zeti yang tidak akan menyambung perkhidmatannya berkata, BNM sentiasa dihormati dan beliau menjangkakan tanggapan ini akan berterusan.

"Saya percaya bank pusat telah menjadi satu organisasi yang kukuh. Ia mempunyai kekuatan institusi, daya tahan dan diasaskan kepada undang-undang yang sah.

"Akta Bank Pusat memberikan kuasa yang luas dan juga kebebasan. Dengan itu, kami bertanggungjawab bagi keseluruhan mandat seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Akta tersebut," katanya.

Zeti dilantik sebagai Gabenor BNM pada Mei 2000.

Selama 16 tahun berkhidmat sebagai gabenor, beliau telah membawa BNM menjadi sebuah institusi yang dihormati dalam komuniti kewangan antarabangsa.

Setakat ini sekurang-kurangnya empat nama sedang disebut-sebut sebagai pengganti beliau.


Mereka ialah Datuk Dr Awang Adek Hussin, bekas Ahli Parlimen dari Kelantan yang kini menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Proses mencari pengganti sedang dibuat oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga BNM yang terdiri daripada pengarah bebas daripada sektor swasta.


"Saya tidak mempunyai kebebasan untuk membincangkan perkara itu. Pengumuman mengenai pengganti saya akan dibuat tidak lama sekali. Ia sudah tentunya akan berlaku," kata Zeti kepada pemberita selepas melancarkan Platform Akaun Pelaburan (IAP) di sini, Rabu.

Menurutnya, meskipun proses pengganti beliau sedang dijalankan, beliau tidak menerima sebarang permintaan agar terus kekal memegang jawatan itu.


"Sudah pastinya Gabenor seterusnya perlu mempunyai latar belakang dan keupayaan berkaitan, terutamanya pada waktu seperti ini agar peralihan boleh diuruskan dengan baik.

"Individu boleh datang dan pergi," katanya sambil menambah beliau merancang untuk berehat seketika dan kemudiannya mula menulis.

Zeti juga berkata, beliau akan terus menyokong inisiatif pendidikan seperti Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus dan sekolah perniagaan baharu yang akan bermula tahun ini. 

"Saya tidak akan memegang apa-apa jawatan sudah tentunya," katanya.

mStar

No comments:

Post a Comment