ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KENAPA BARU SEKARANG PAS HERET HUSAM KE JAWATANKUASA DISPLIN ???

Monday 15 February 2016

KENAPA BARU SEKARANG PAS HERET HUSAM KE JAWATANKUASA DISPLIN ???

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sepatutnya sudah lama dikenakan tindakan tatatertib oleh Jawatankuasa Disiplin Pas Pusat.
Tetapi, dari sebulan ke sebulan sejak setahun lalu, tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berterusan mengkritik kepimpinan parti dan pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah oleh partinya sendiri, Pas.
Adakah Husam begitu kebal sehingga tiada tindakan disiplin diambil ke atasnya?
Atau beliau mempunyai pengaruh yang kuat sehingga boleh menggugat sokongan orang ramai kepada Pas jika bekas anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu dipecat keahlian?
Pas Pusat mahupun negeri nampak takut bertindak ke atas Husam.
Barangkali juga disebabkan ADUN Salor itu menyimpan banyak rahsia dalam kalangan sesetengah pemimpinnya sehingga beliau dilihat seperti dibiarkan untuk terus mengkritik parti.
Husam dilihat menentang arus selepas tok gurunya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada timbalannya, Datuk Ahmad Yakub pada tahun 2013.
Sepatutnya, beliau selaku Exco kanan ketika itu lebih layak menggantikan tempat Allahyarham Nik Abdul Aziz, tetapi bekas Mursyidul Am Pas itu melihat Ahmad lebih sesuai dan melantiknya sebagai pengganti.
Ahmad pula, selepas memegang jawatan Menteri Besar Kelantan yang baharu telah membuat rombakan Exco.
Dalam rombakan itu, beliau membuat kejutan dengan tidak menyambung kontrak Husam.
Kelantangan Husam mungkin dijadikan alasan oleh Ahmad untuk menggantikan jawatan itu kepada orang lain.
Bukan itu sahaja, ADUN Salor itu juga kalah teruk dalam Muktamar Agung Pas tahun lalu, sekali gus beliau hilang kuasa sepenuhnya dalam kepemimpinan parti dan kerajaan negeri.
Kalau sebelum ini Husam begitu gah kerana menjadi antara orang nombor tiga dalam parti dan nombor tiga juga dalam pentadbiran kerajaan negeri, tetapi dalam sekelip mata pula Allah menarik semua nikmat itu.
Tinggallah Husam dengan labu-labunya. Janji-janji kepada rakyat Kelantan untuk membina lebuh raya rakyat, stadium dan kereta api laju antara yang menjadi punca kemarahan rakyat kepada Pas Kelantan.
Justeru, pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar amat tepat sekali kerana ADUN Pasir Pekan ini bukan dari kalangan pemimpin sombong, sebaliknya beliau seorang yang suka merendah diri.
Ahmad turun ke akar umbi bertemu rakyat. Rata-rata meluahkan rungutan masing-masing mengenai janji yang ditabur sebelum ini, tetapi masih belum menjadi kenyataan.
Ahmad terpaksa pula menyabarkan rakyat dengan pelbagai alasan bagi menggelakkan daripada rakyat menaruh harapan setinggi gunung, sedangkan angan-angan bekas Exco itu hanya tinggal angan-angan.
Oleh itu, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di ibupejabat Pas di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur semalam untuk menghadapkan Husam ke Jawatankuasa Disiplin parti adalah tepat.
Sudah sampai masanya Pas Pusat tidak tunduk kepada tekanan Husam dan memang sewajarnya pemimpin yang tidak memihak kepada parti sendiri, dikenakan hukuman.
Husam pula mungkin mempunyai alasan kenapa tidak keluar dari Pas sebagaimana dilakukan rakannya yang lain seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli dan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Alasannya ada kemungkinan sumpah baiah yang mentaklikkan cerai talak tiga ke atas isteri ketika dilafazkan sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) dahulu adalah benar-benar berlaku sekiranya sumpah itu dilanggar.
Untuk selamat dari dimakan sumpah, beliau hanya perlu menunggu tindakan dari parti memecat keahliannya di atas salah laku.
Itu sahaja cara terbaik untuk lari dari dilanggar sumpah dan itulah yang ditunggu-tunggunya selama ini.
MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment