ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENGETUA, ANAK MAUT KEMALANGAN DI JENGKA

Sunday 14 February 2016

PENGETUA, ANAK MAUT KEMALANGAN DI JENGKA


KUANTAN - Sorang pengetua sebuah sekolah menengah dan anaknya maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta dan sebuah lori di KM23.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka/Jerantut, Maran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, Mohd Rozi Mat Bani, 48, yang merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat dan anak bongsunya Adam Zikry, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata seorang lagi anak mangsa Muhammad Afiq Zakwan, 18, yang memandu kereta Perodua Kelisa itu, cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) di Temerloh.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Muhammad Afiq Zakwan cuba untuk memotong beberapa kenderaan di hadapan namun gagal, lalu bertembung dengan sebuah kereta Waja yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, kereta Waja berkenaan terbabas ke kiri jalan manakala kereta Kelisa itu berpusing sebelum dilanggar oleh lori yang berada di belakang kereta Waja," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini.

Mat Rizal berkata kemalangan berhampiran Jengka 19 itu turut menyebabkan pemandu kereta Waja itu cedera ringan.

Identiti pemandu itu belum dikenal pasti, katanya.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan semasa kejadian, Mohd Rozi dan anaknya dalam perjalanan dari Bandar Jengka untuk pulang ke rumah mereka di Sungai Gau, Temerloh.

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau malam ini.
Bernama

No comments:

Post a Comment