ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEMIMPIN KANAN PAS ENGGANG LAYAN GESAAN HUSAM

Monday 1 February 2016

PEMIMPIN KANAN PAS ENGGANG LAYAN GESAAN HUSAM


Kedua-dua pemimpin kanan PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Takiyuddin Hassan enggan melayan gesaan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang menggesa mereka meletakkan jawatan berikutan kegagalan membentangkan usul hudud di parlimen sehingga kini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, langkah membawa usul tersebut di parlimen bukanlah isu sebaliknya tanggungjawab.

"Kita akan bawa usul ke parlimen, gagal (atau) tidak gagal selepas itu, bukan tanggungjawab.

"Saya juga boleh tanya dia (Husam) balik, dia juga pernah gagal membabitkan beberapa perkara, kenapa tidak letak jawatan?," katanya yang dipetik dari Sinar Harian. 
Husam ketika menjadi panel sebuah forum malam kelmarin meminta Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dan Takiyuddin untuk bertanggungjawab di atas kegagalan parti itu membawa usul pindaan akta berkenaan. 

Bekas Naib Presiden PAS itu juga berkata, kedua-duanya perlu meletak jawatan sekiranya gagal memberikan penjelasan di atas kegagalan tersebut.

Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, manakala Takiyuddin pula merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri.

Sementara itu Takiyuddin sebagai mengulas perkara itu berkata, beliau tidak bertanggungjawab menjelaskan perkara yang diamanahkan kepadanya itu kepada Husam.

"Pihak kami tiada tanggungjawab memberi penjelasan kepada Husam. Bagi saya, tanggungjawab saya melakukan kerja yang diamanahkan. Saya tidak bertanggungjawab kepada dia," katanya dipetik akhbar tersebut.

Malah katanya, Husam juga tidak tahu banyak perkara dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan banyak perkara tidak perlu diberitahu kepadanya.

Semalam, seorang lagi Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turut menempelak Husam dan menyifatkan kenyataan pemimpin itu sebagai tiada asas.

Ujar Idris, PAS sudah melakukan prosedur untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) bagi meminda Akta 355 demi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri yang diperintah parti berkenaan, cuma belum berkesempatan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
AD-01/02/2016

No comments:

Post a Comment