ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KERAHSIAAN NEGARA BUKAN UNTUK HALALKAN SALAH LAKU MANA-MANA PIHAK

Monday 15 February 2016

KERAHSIAAN NEGARA BUKAN UNTUK HALALKAN SALAH LAKU MANA-MANA PIHAK


Kerahsiaan negara bukan untuk menghalalkan mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan bersama warga kementerian serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina kementeriannya di sini hari ini, beliau berkata kerahsiaan dalam sesebuah institusi adalah penting dalam melaksanakan sesuatu tugas.

“Ini isu yang kompleks kerana dalam sesetengah hal kerajaan tidak boleh membocorkan maklumat atas sebab tertentu, namun sebaliknya kita telah dituduh menyembunyikan rahsia.

“Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa ada rahsia, jangan cakap negara atau kerajaan malah institusi keluarga sekalipun jika kita kita terlalu terbuka kepada pihak luar, institusi itu akan hancur,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) turut memberikan contoh negara maju seperti Singapura, United Kingdom dan Switzerland yang berjaya pada hari ini kerana mereka menghormati kerahsiaan data dan maklumat.

Beliau berkata terdapat juga pelbagai saluran untuk membuat aduan jika terdapat salah laku termasuklah unit integriti setiap kementerian, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud turut meminta SPRM untuk mempraktikkan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi melindungi integriti pihak yang dituduh.

Beliau berkata klausa undang-undang itu memperuntukkan bahawa aduan yang dilaporkan kepada badan terbabit tidak seharusnya diuar-uarkan kepada pihak media terlebih dahulu.

“Berdasarkan peruntukan itu juga, aduan tidak boleh dikongsi kepada orang lain dan hanya apabila pendakwaan dilakukan baharulah identiti yang dituduh itu dapat disiarkan pihak media,” katanya, sambil menambah peruntukan itu dapat mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.

Ini kerana sekarang tohmahan, tuduhan dan fitnah yang melulu telah berlaku secara berleluasa dan melalui (peruntukan) ini juga kita mahu elakkan perkara sebegitu terjadi bagi menjamin keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan dan hanya boleh didedah apabila kes dibawa ke mahkamah.

Ditanya mengenai kelaziman sesetengah pihak menjemput media bagi memberi liputan kepada mereka yang mahu membuat aduan kepada SPRM berkaitan kes-kes tertentu, Abdul Rahman berkata pendedahan nama tertuduh dan kesalahan mereka akan memudaratkan orang yang dituduh sebelum diadili.

Malah, katanya, jika pihak yang dituduh itu benar-benar bersalah, pendedahan kepada media memberi masa kepada pihak yang berkaitan dengan kesalahan berkenaan melupuskan bukti jenayah mereka.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menghadiri majlis penyampaian surat setuju terima bagi perolehan dua unit helikopter AgustaWestland AW189 untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bernilai RM201 juta yang dijangka disempurnakan dalam tempoh tiga tahun.

Kedua-dua helikopter buatan Itali itu dirancang untuk ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah apabila Pangkalan Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kota Kinabalu siap pada 2018.

No comments:

Post a Comment