ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAN MINAT LAMAR HUSAM JIKA DIPECAT DARI PAS

Tuesday 16 February 2016

PAN MINAT LAMAR HUSAM JIKA DIPECAT DARI PAS


Parti Amanah Negara (PAN) bersedia menerima bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyertai parti itu sekiranya Pas memecat keahliannya.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir, pihaknya tidak akan memujuk atau merayu Husam berbuat demikian kerana yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu mempunyai perancangan tersendiri berhubung kedudukan dan masa depannya dalam politik.

"Buat masa sekarang kita tidak akan campur tangan. Kita tidak akan memujuknya atau menawarkan apa-apa jawatan kepada Husam. Dia seorang ahli politik yang bijak dan sudah tentu dia mempunyai perancangannya sendiri.

"Tambahan pula Husam masih ahli dan ADUN Pas di Kelantan," katanya menjawab soalan wartawan pada sidang media menerima kemasukan ahli baru tokoh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Wisma Amanah Negara di Selayang, hari ini.

Antara yang menyerahkan borang keahlian menyertai PAN ialah ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Hasan Bahrom; bekas ahli akademik, Dr. Ali Abd. Rahman dan bekas Timbalan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Sulaiman Mohd Nor.

Turut menyertai PAN ialah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik, Mohd Yusop Hasan dan bekas Naib Yang Dipertua WADAH Selangor, Ahmad Zaki Abdul Latiff.

Borang keahlian diserahkan mereka kepada Anuar dalam majlis ringkas di Wisma Amanah Negara.

Diakhir sidang media itu, beliau melancarkan daftar keahlian secara dalam talian.

Menurut Anuar, PAN juga tidak akan memberi sebarang ulasan atau kenyataan balas berhubung tindakan Lembaga Disiplin Pas Pusat memanggil Husam menghadap badan tatatertib itu atas tingkah lakunya yang dikatakan sering mengkritik parti sendiri iaitu Pas.

"Kita hanya boleh katakan, setiap ahli atau pemimpin mempunyai hak demokrasi,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai dakwaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Pusat, Anuar menjelaskan, beliau tidak tahu menahu hal itu, sebaliknya jika ia benar, kerajaan tidak wajar memilih bulu dalam menyalurkan bantuan kepada NGO.

Kata beliau, banyak lagi NGO di negara ini yang bergerak bersendirian menjalankan tanggungjawab membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi kenapa mereka tidak mendapat apa-apa sumbangan daripada kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh pilih bulu dalam memberi bantuan kepada NGO. Tidak boleh beri kepada pihak yang disenangi kerajaan sahaja," ujarnya. 

No comments:

Post a Comment