ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KWSP UMUM KADAR DIVIDEN 6.40 PERATUS BAGI TAHUN 2015

Saturday 20 February 2016

KWSP UMUM KADAR DIVIDEN 6.40 PERATUS BAGI TAHUN 2015



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus bagi 2015 dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.

Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada  RM684.53 bilion setakat 31 Dis 2015 manakala pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding RM39.08 bilion pada 2014. 

"Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas aset di beberapa negara dan pasaran. 

"Walaupun kolerasi dalam kalangan pasaran-pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenal pasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran menarik," kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman. 

Beliau berkata langkah kepelbagaian dalam pasaran modal dan mata wang membolehkan KWSP mengaut pulangan signifikan daripada sumber bukan ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun berkenaan. 

"Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa bertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek, dan kami berbesar hati mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi membanggakan sekalipun berdepan cabaran," katanya. 

Lebih penting lagi katanya, KWSP berupaya mencapai dua sasaran pelaburan strategik iaitu sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal setiap tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991, dan sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut. 

Bagi 2015, Samsudin berkata dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut ialah 4.05 peratus iaitu 205 mata asas lebih tinggi daripada sasaran. 

Bagi tahun dalam semakan, ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pada 58.81 peratus, iaitu sebanyak RM26.01 bilion atau peningkatan 13.54 peratus daripada RM22.91 bilion pada 2014.  

Menurut kenyataan itu portfolio ekuiti luar negara memainkan perana utama dengan menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatan pelaburan ekuiti 2015.

Sementara itu, pelaburan KWSP dalam instrumen tetap terus memberi pendapatan yang stabil dengan aset kelas ini yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 35.40 peratus daripada RM44.23 bilion pendapatan pelaburan kasar pada tahun berkenaan. 

Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.70 bilion, naik 22.23 peratus daripada 2014, manakala portfolio luar negara bagi kelas aset ini yang diceburi sejak 2010, menunjukkan prestasi memberangsangkan dari tahun ke tahun. 

"Program pelaburan luar negara KWSP berstruktur yang dilaksanakan secara rasmi pada 2006, menyumbang 48 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun ini walaupun pendedahan hanya 25 peratus daripada jumlah aset pelaburan, sekali gus mengatasi prestasi aset domestik," kata Samsudin. 

Selaras perancangan pelancaran skim simpanan patuh syariah pada 2017, pendedahan KWSP dalam pelaburan patuh syariah yang meliputi pelbagai kelas aset setakat ini melebihi 40 peratus daripada aset keseluruhan. 

KWSP juga memastikan semua pelaburan termasuk aset bukan syariah, adalah beretika dan tidak terlibat dengan sebarang pelaburan yang berkaitan antaranya sektor perjudian, alkohol/arak, dan senjata ketenteraan. 

Mengulas iklim ekonomi pada 2016, Samsudin berkata tahun ini akan lebih mencabar.  

"Kombinasi ketidakpastian kadar pertumbuhan dan kemerosotan harga komoditi menyaksikan kejatuhan indeks utama termasuk FBM KLCI sejak awal tahun.  

"Ini merupakan iklim yang sangat berbeza dengan separuh pertama 2015 dengan pelaburan global kami mampu mengimbangi kesan kelembapan pasaran domestik,"katanya. 

Ketidaktentuan pasaran mata wang juga bermakna akan menyukarkan KWSP untuk mengulangi prestasi cemerlang aset global 2015. 

"Bagaimanapun, kami akan terus melindungi dan meningkatkan nilai simpanan ahli dengan memberi pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang, selaras dengan had risiko yang bersesuaian," kata beliau.

Bernama

No comments:

Post a Comment