ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UMNO KELANTAN TONJOL TOKOH ANAK MUDA MULAI TAHUN HADAPAN

Monday 8 December 2014

UMNO KELANTAN TONJOL TOKOH ANAK MUDA MULAI TAHUN HADAPAN

JELI: UMNO Kelantan akan menonjolkan beberapa tokoh anak muda yang berwibawa dan mampu diangkat menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang, mulai tahun hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata parti itu terlebih dahulu akan mengenal pasti kira-kira 20 tokoh anak muda dan mereka akan digilap untuk dijadikan pemimpin yang mampu diterima rakyat negeri ini.

"Tahun hadapan kita mahu kenal pasti tokoh-tokoh anak muda ini walaupun bilangannya sedikit tetapi perancangan perlu diatur dengan baik untuk mencari pelapis pemimpin berwibawa," katanya selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Murid-Murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Jeli di Pondok Moden, Bukit Bunga di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik dan ADUN Kuala Balah Datuk Abdul Aziz Derashid.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata isu mencari pelapis muda itu adalah amat penting di Kelantan kerana bilangan mereka yang dikategorikan sebagai 'berwibawa' itu belum mencukupi.

"Kita nak mereka ini bukan setakat remaja tetapi berwibawa yang mampu meraih sokongan masyarakat. Ini penting iaitu kita nak mereka diterima oleh masyarakat," katanya.

Menurutnya usaha untuk mencari bakat muda itu sebenarnya telah dilakukan sejak tahun lepas tetapi masih tidak memadai untuk mengesan golongan muda yang mempunyai kriteria berkenaan.

Beliau berkata usaha itu bukan untuk meminggirkan golongan veteran malah mereka boleh menjadi mentor untuk mendidik golongan muda untuk menjadi pemimpin masa depan.

Mengulas mengenai pencapaian UPSR kali ini, Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli berkata, bilangan murid yang mendapat A dalam semua mata pelajaran di Jeli adalah seramai 111 orang berbanding 118 orang pada tahun lalu.

"Kemerosotan ini sebenarnya berlaku di seluruh negara, namun kita tetap sedih kerana kita masih ketinggalan berbanding daerah lain.  Tahun depan, kita akan berusaha meningkatkan prestasi murid-murid di Jeli dengan pelbagai program yang telah diatur," katanya.

No comments:

Post a Comment