ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SOAL JAWAP KEMUSYKILAN ISU #RCISABAH

Thursday, 4 December 2014

SOAL JAWAP KEMUSYKILAN ISU #RCISABAH


1. Apakah perancangan Kerajaan terhadap pelarian di Sabah?

Kerajaan dari semasa ke semasa telah merancang berbagai tindakan untuk menangani pelarian di Sabah, di mana pada tahun 1989 Kerajaan telah mengeluarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 16 untuk mengurus hal ehwal pelarian dan PATI di Negeri Sabah secara terancang. Dengan arahan ini maka telah diwujudkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan).PPKP (S/L) ini mengurus dan melaksanakan penguatkuasaan terhadap mereka.

Kerajaan juga berpandangan bahawa pada masa hadapan, satu dokumen yang seragam perlu dikeluarkan kepada pelarian yang layak/ yang betul-betul bertaraf pelarian bagi menggantikan pelbagai jenis dokumen yang ada pada masa sekarang. Ini sebagai salah satu langkah penambahbaikan pengawalan terhadap golongan ini. 


2. Apakah tindakan MKN terhadap laluan kemasukan haram?

Tindakan-tindakan MKN ialah:

i.  menguatkuasakan dan menyelaras Operasi-Operasi berkaitan Peraturan Tetap Operasi Laluan Ditetapkan (Designated Route) yang telah dilaksanakan di kawasan Perairan Negeri Sabah.

-     Designated Route ialah satu laluan laut yang diwujudkan di perairan Pantai Timur Sabah untuk mengawal laluan bot-bot pedagang dan penumpang asing memasuki atau keluar daripada pelabuhan-pelabuhan di Sabah.

-    Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah supaya sentiasa selamat dan bebas daripada kegiatan jenayah serta pencerobohan juga untuk memudahkan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan melaksanakan tugas. PTO ini digunapakai ke atas semua bot pedagang dan bot penumpang asing yang menggunakan perairan pantai timur Sabah.

ii.     menyelaras pelaksanaan Ops Balasah dan Ops Pasir oleh ATM.

MAKLUMAT TAMBAHAN
i.              Pewujudan ESSCOM dan ESSZONE juga adalah sebagai langkah mengekang laluan-laluan haram tersebut. ESSCOM melaksanakan Perintah Berkurung di kawasan ESSZONE pada waktu malam sebagai langkah terkini untuk mengekang kemasukan melalui laluan haram.

ii.            Agensi-agensi keselamatan lain seperti PDRM, APMM, Tentera Laut, RELA (sepanjang pantai) dan bantuan daripada Kerajaan Tempatan juga telah dilaksanakan bagi menghalang kemasukan melalui laluan haram.


3. Apakah jaminan Kerajaan terhadap keselamatan penduduk Sabah?

MKN sentiasa melaksanakan langkah-langkah yang bertujuan menjamin keselamatan penduduk Sabah. Antara langkah tersebut ialah:
i.              Menyelaras bersama agensi keselamatan lain
ii.            Memperhalusi cadangan menempatkan semula perkampungan atas air
iii.    Melaksanakan program-program yang berbentuk ceramah dan mendekati rakyat Sabah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan bekerjasama dalam menjaga keselamatan Negeri Sabah
iv.    Meningkatkan operasi membanteras Pendatang Tanpa Izin. Bermula pada tahun 1990 hingga November 2014, bilangan PATI yang ditangkap, diusir pulang dan pulang secara sukarela adalah seperti berikut:

Ditangkap:
Warganegara
Bilangan (orang)
Filipina
301,156
Indonesia
192,520
Lain-lain
7,290
JUMLAH
500,966

Diusir pulang ke negara asal:
Warganegara
Bilangan (orang)
Filipina
237,715
Indonesia
159,087
Lain-lain
4,443
JUMLAH
401,245

            Pulang secara sukarela:
Warganegara
Bilangan (orang)
Filipina
33,462
Indonesia
39,914
Lain-lain
834
JUMLAH
74,210

           Jumlah yang pulang secara sukarela dan diusir
           =  475,455 orang.

i.              Memberikan informasi terkini dan sahih berkenaan kesedaran keselamatan kepada orang awam melalui pelbagai cara termasuk media social.


4. Apakah penjelasan tentang keputusan Mesyuarat Sidang Keselamatan Negara Bil.1/2001 iaitu untuk mendokumentasikan pelarian Filipina?

Keputusan untuk mendokumentasikan pelarian Filipina bertujuan untuk peningkatan pengurusan supaya ianya lebih teratur dan mempunyai rekod yang lengkap. Perkara ini juga diselaraskan dengan Kementerian yang lain bagi memastikan ketelusan dalam mendokumentasikan pelarian Fillipina adalah berlandaskan peraturan dokumentasi sedia ada.

MAKLUMAT TAMBAHAN:
i.       Sehingga kini masih belum ada pelarian yang telah mendapat taraf warganegara melalui keputusan Sidang MKN 1/2001 kerana tempoh dari sidang tersebut sehingga kini (2014) hanya 12 tahun.

ii.     Penduduk di kawasan penempatan pelarian yang mempunyai MyKad biasanya adalah
-       penduduk tempatan yang berkahwin dengan pelarian
-       anak-anak daripada pelarian yang berkahwin dengan penduduk tempatan
-       anak-anak daripada pelarian yang mendapat taraf Penduduk Tetap

iii.    Penduduk yang tinggal di penempatan pelarian kebanyakannya adalah
-       masyarakat yang berasal dari selatan Filipina dan melarikan diri ke Sabah sebagai pelarian perang sekitar tahun 1972- 1984
-       tidak mempunyai rumah atau tidak mampu untuk tinggal di kawasan perumahan lain di Sabah/ Labuan
-       memegang dokumen-dokumen yang dikeluarkan kepada pelarian, seperti IMM13, Sijil Banci, Surat Pengenalan JKM dan MyPR.

iv.    Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia, statistik golongan pelarian yang mendapat IMM13 sehingga pada Ogos 2014 ialah seramai 98951 orang. Daripada jumlah ini, hanya 34,114 sahaja yang masih aktif (memperbaharui setiap tahun hingga kini).

i.       Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia,bilangan pemegang IMM13 yang telah dikeluarkan dokumen Permit Masuk adalah seperti berikut:

Jenis dokumen
Bil. dikeluarkan
Bil. dokumen yang diserahkan kepada pemohon
Permit Masuk
37,091
36,449

ii.     Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sabah menyatakan bahawa sehingga kini belum ada pemegang IMM13 yang layak memohon kewarganegaraan atau MyKad.

iii.    Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, sebanyak 33,016 orang yang telah dikeluarkan dokumen JKM iaitu Resit Pengenalan Sementara.


5. Selaras dengan proses perdamaian dan kuasa autonomi di selatan Fillipina, adakah Kerajaan bercadang untuk menghantar pulang pelarian semula ke selatan Filipina?

Kerajaan akan membantu pelarian yang akan balik semula ke tempat asal mereka (Filipina Selatan). Dan sekiranya mereka memutuskan untuk pergi ke negara ketiga (Negara asing yang mahu menerima mereka) Kerajaan akan membantu mereka untuk berhijrah ke negara tersebut. Dalam perkara ini, Kerajaan Malaysia sangat mengalu-alukan tindakan mereka ini untuk balik ke negara asal mereka. Kerajaan Malaysia telah membantu untuk mewujudkan perdamaian di Selatan Filipina dengan menjadi perantara rundingan damai antara Kerajaan Filipina dengan kumpulan pemberontak di Selatan Filipina. Kerajaan Malaysia juga sentiasa berusaha dan berunding dengan Kerajaan Filipina melalui saluran diplomatik berkaitan dengan keselamatan sempadan bersama dan kemasukan tidak berdokumen penduduk dua negara di daerah sempadan.

Bagi pelarian yang tidak mahu pulang, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan bahawa satu dokumen yang seragam perlu dikeluarkan kepada pelarian yang layak/ yang betul-betul bertaraf pelarian bagi menggantikan pelbagai jenis dokumen yang ada pada masa sekarang. Ini sebagai salah satu  langkah penambahbaikan pengawalan terhadap golongan ini.


MAKLUMAT TAMBAHAN:
i.   Setakat ini belum ada pelarian yang secara rasmi mahu pulang ke Selatan
     Filipina.


6. Apakah perbezaaan fungsi di antara MKN di Semenanjung dan Sabah?

MKN Ibu Pejabat berfungsi mengurus dan menangani hal ehwal keselamatan negara secara keseluruhan. Manakala MKN Negeri Sabah mengurus dan menangani hal ehwal keselamatan Negeri Sabah sahaja.

Mesyuarat Sidang MKN Kebangsaan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri manakala Mesyuarat Keselamatan peringkat Negeri Sabah dipengerusikan oleh Ketua Menteri dan Setiausaha MKN Negeri Sabah sebagai setiausaha mesyuarat peringkat negeri.

MKN Negeri Sabah juga sedikit berbeza daripada MKN di negeri lain kerana selain menguruskan aspek bencana, sempadan dan hal keselamatan lain, MKN Sabah juga menguruskan Pendatang Luar Negeri.


7. Apakah perbezaan fungsi di antara MKN, JIM dan Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam menangani isu PATI di Negeri Sabah?

Perbezaan antara MKN, JIM dan Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam hal menangani isu PATI di Sabah adalah berbeza dari segi tugasan Jabatan.
Perbezaan tugas tersebut adalah seperti berikut:

i.       MKN – Menyelaras penguatkuasaan terhadap PATI terutamanya  pelaksanaan Operasi seperti Ops Nyah Bersepadu, menguruskan travel document untuk penghantaran pulang PATI dan menguruskan Pusat Tahanan Sementara

ii.     JIM -  melaksanakan operasi, mengurus dokumentasi berkaitan reman, siasatan dan dan menguruskan penghantaran balik PATI ke negara asal.

iii.  JKM Sabah – Terlibat dalam operasi-operasi menangkap PATI untuk memeriksa kesahihan dokumen yang dikeluarkan JKM


8. Adakah Sijil Banci yang pernah dikeluarkan oleh MKN masih sah sehingga sekarang?

Pemegang Sijil Banci yang dikeluarkan oleh MKN sepatutnya sudah menukarkan dokumen tersebut kepada IMM13 melalui proses Regularisasi pada tahun 1997, namun sehingga kini terdapat kira-kira 5,000 pemegang Sijil Banci yang belum menukarkan kepada IMM13.

MAKLUMAT TAMBAHAN:
MKN melalui Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan) telah mengeluarkan Sijil Banci kepada 300,393 orang pada tahun 1990-1991.

MKN telah membuat semakan semula terhadap pengeluaran Sijil Banci pada tahun 1994 dan 1996. Hasil semakan tersebut sebanyak 57,197 Sijil Banci telah dikategorikan sebagai Sijil Banci Lulus iaitu diiktiraf sebagai pelarian. Manakala baki 243,196 adalah kategori Sijil Banci Gagal iaitu bukan pelarian dan PATI.

Pada tahun 1997, Kerajaan melaksanakan Program Regularisasi di mana pemegang Sijil Banci Lulus perlu menukarkan dokumen ke IMM13. 


9. Adakah benar terhadap dakwaan bahawa terdapat arahan dari MKN berhubung dokumentasi penduduk di Negeri Sabah?

Pada tahun 1997, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju melaksanakan program Regularisasi terhadap pemegang Sijil Banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan) dengan menukarkan Sijil Banci kepada dokumen IMM13.


10. Apakah yang dimaksudkan dengan Penempatan Pelarian? Siapakah golongan yang dibolehkan menduduki penempatan ini dan apakah peranan MKN dalam menguruskan penempatan ini?

Penempatan pelarian digazetkan oleh Kerajaan Negeri sebagai tempat untuk pelarian Fillipina dan keluarga mereka tinggal di Negeri Sabah. Golongan yang dibenarkan tinggal di sini adalah golongan yang berstatus pelarian dan memegang dokumen seperti IMM13, Sijil Banci dan Surat JKM. Namun demikian terdapat juga pelarian yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus tinggal di penempatan tersebut.

MKN bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan berkaitan penempatan tersebut manakala Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Tempatan menguruskan perkara berkaitan tanah dan kemudahan asas seperti air dan elektrik. Semua agensi terlibat sentiasa bekerjasama dalam memastikan pengurusan penempatan dijalankan dengan baik.


11. Apakah perbezaan antara depot tahanan JIM dan Pusat Tahanan Sementara?

Perbezaaannya ialah depoh imigresen di Semenanjung adalah di bawah pengendalian dan pengurusan JIM manakala di Sabah, depoh tahanan dinamakan sebagai Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan pengurusannya diletakkan di bawah Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan). Ini adalah kerana fungsi PTS di Sabah melibatkan tugas-tugas tertentu yang memerlukan tapisan khas bagi memastikan PATI yang diletakkan di dalam PTS bersih dari kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan Negara. Walau bagaimanapun, JIM terlibat dalam menguruskan dokumentasi PATI yang ditahan di PTS.


12. Apakah tindakan MKN terhadap kanak-kanak jalanan dan adakah di bawah MKN?

MKN telah diarahkan oleh Kabinet pada tahun 2008 untuk menguruskan isu kanak-kanak jalanan di Sabah kerana ianya berkait dengan keselamatan dan kehadiran mereka berkeliaran di bandar-bandar. MKN membuat program pembersihan kehadiran mereka di Bandar-bandar dengan membuat tangkapan untuk diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Ehsan yang telah digazetkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat pada tahun 2008 bertempat di kawasan Pusat Tahanan Sementara Papar. Rumah Ehsan ini juga disediakan sekolah asas berkonsepkan 3M (membaca, menulis dan mengira). Kesemua kanak-kanak jalanan ini tidak mempunyai dokumen atau tidak mempunyai dokumen lengkap dan sebelum itu tidak pernah bersekolah.

MAKLUMAT TAMBAHAN:
Statistik kanak-kanak jalanan yang pernah diselamatkan dan dihantar ke rumah perlindungan ehsan sejak tahun 2012 ialah:

Tahun
Agensi yang menyelamatkan
Jumlah
PPKP (S/L)
PDRM
Lain-lain
2012
20
120
78
218
2013
0
87
60
147
2014
0
56
12
68

Sehingga November 2014, jumlah kanak-kanak yang masih ditempatkan di rumah perlindungan ehsan ialah seramai 25 orang.


13. MKN adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri dan adakah betul Kerajaan Persekutuan menggunakan PATI untuk meraih sokongan politik dan memberikan mereka dokumen pengenalan diri untuk tujuan mengundi?

PATI tidak boleh digunakan untuk meraih sokongan politik atau untuk digunakan sebagai pengundi kerana mereka bukan warganegara dan tidak
mempunyai dokumen yang sah. MKN tidak pernah mengeluarkan MyKad untuk mengundi (MKN hanya mengeluarkan Sijil Banci sahaja).


14. Apakah tindakan MKN selepas laporan RCI didedahkan?

MKN akan mengikut sebarang arahan dan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan tugas-tugas selepas laporan RCI diumumkan.


15. Mengapa sebelum tahun 1989 urusan pelarian oleh Kerajaan Negeri dan mengapa ianya diberikan kepada Kerajaan Persekutuan selepas itu?

Kerajaan Negeri kurang kemampuan kewangan untuk urusan membekal makanan kepada semua tahanan di Pusat Tahanan Sementara di seluruh Negeri Sabah, tambang penghantaran balik (pengangkutan) untuk kos tambang dan feri serta kos pengurusan pengawal keselamatan di seluruh Pusat Tahanan Sementara di Negeri Sabah yang berjumlah jutaan ringgit setiap tahun. Pada tahun 2013 sahaja kira-kira RM20 juta telah dibelanjakan (dan ini tidak termasuk kos membina PTS yang berjumlah RM27 juta).

Pasukan keselamatan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan, oleh itu pengurusan berkait dengan keselamatan adalah lebih mudah diurus oleh Kerajaan Persekutuan. Agensi-agensi ini adalah seperti PDRM, JIM, APMM, Tentera Laut dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan).

Faktor-faktor lain yang membawa kepada penyerahan tugas mengurus pendatang asing di Sabah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Negeri adalah kerana hal hubungan antara negara asing adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan (hubungan diplomatik) dan pertahanan negara. Hak berunding dengan negara-negara asing juga adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.


16. Apakah tindakan MKN terhadap tuduhan bahawa MKN adalah punca kepada isu IC Projek di Sabah dan agensi lain hanya menjadi pelaksana?

MKN menafikan tuduhan ini kerana MKN hanya melaksanakan tugas-tugas yang berkait dengan keselamatan Negara. 


17. Bagaimanakah boleh wujud cawangan UMNO dalam kawasan penempatan?

Pewujudan cawangan UMNO adalah atas budi bicara dari pengurusan UMNO 
peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat.


18. Apakah tindakan MKN terhadap tahap keselamatan Pulau Gaya?

MKN mengkoordinasi tugas-tugas keselamatan bersama dengan jabatan-jabatan keselamatan yang lain seperti PDRM, ATM, ESSCOM, APMM,  Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan (DBKK). Contohnya dalam hal rondaan keselamatan dan penubuhan balai polis di Pulau Gaya.

19. Apakah tindakan MKN bagi mengelak isu pencerobohan di Lahad Datu berulang?

Tindakan MKN ialah:
i.              MKN akan sentiasa mengkoordinasikan agensi-agensi keselamatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Daerah/ Kerajaan Tempatan, untuk meningkatkan keselamatan di perairan pantai timur Negeri Sabah.

ii.            ESSCOM telah diwujudkan. Antara program ESSCOM ialah:

a.    membuat cadangan untuk menambahkan satu lagi Batalion
      tentera untuk ditempatkan di Negeri Sabah.
b.    Melaksanakan perintah berkurung di kawasan pantai di Pantai Timur Sabah pada waktu malam
c.    Mengadakan program ceramah kepada penduduk Pantai Timur Sabah untuk memupuk kerjasama dalam menjaga keselamatan
d.    Menguatkuasakan undang-undang maritime
e.    Melaksanakan community policing
f.     Meningkatkan keselamatan di pulau-pulau strategik dan mempunyai resort.
g.    Mengkoordinasi cadangan penempatan semula perkampungan air di Pantai Timur Sabah

iii.           Di samping itu kerajaan telah meningkatkan operasi perisikan di semua sektor untuk tujuan mendapatkan maklumat ancaman keselamatan terawal yang mungkin.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut membantu dari segi:
i.              mempermudahkan urusan pengambilan tanah untuk pembinaan pos-pos  keselamatan dan pejabat ESSCOM
ii.            kemudahan logistik untuk rondaan, operasi dan sebagainya
iii.           memperhalusi cadangan penempatan semula perkampungan air di Pantai Timur Sabah

Maklumat-Maklumat Tambahan/ Facts and Figures


3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Hello.. nama saya Andri Rudy berasal dari ranau sabah, saya bertanya tentang pass imm13. sebenarnya saya bukan warga malaysia tetapi sudah lama menetap di Sabah sejak saya lahir, bersekolah dan membesar di Negeri ini, dan sehingga sekarang saya belum mendapat dokumen yang sah walaupun saya mempunyai sijil lahir d sini, saya harap ada yang boleh membantu saya untuk menyelesaikan masaalah saya ini, kerana saya sangat memerlukan pass untuk saya mencari pekerjaan bagi membantu keluarga saya. saya berharap juga pihak kerajaan ataupun Imigresen dapat memberi pertimbangan atas masaalah yang saya hadapi pada saat ini...

    ReplyDelete
  3. bagi sesiapa yang boleh membantu saya, saya merayu agar kamu boleh la email kepada saya.. saya sangat berharap jasa baik dari kalian semua..

    ReplyDelete