ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LAPORAN #RCISABAH DIDEDAHKAN HARI INI

Wednesday 3 December 2014

LAPORAN #RCISABAH DIDEDAHKAN HARI INI

alt

Laporan yang dinanti-nanti daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai imigran haram di Sabah bakal didedahkan di Kota Kinabalu hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju mengumumkan laporan itu sewaktu mesyuarat kabinet bulan lalu selepas mengambil kira kepentingan isu pendatang haram di negeri berkenaan.

Beliau berkata bahawa keputusan untuk membentangkan laporan RCI tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Laporan tersebut dimulakan pada 21 Ogos 2012 dan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim.

Anggota panel itu juga terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon; bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Henry Chin Poy Wu; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J Luping.

Prosiding tersebut bermula pada Januari 2013 apabila Manoj Kurup, Datuk Azmi Ariffin and Jamil Aripin dari Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai pegawai pengendali bagi membantu suruhanjaya menyoal saksi-saksi.

Dalam kenyataannya, Manoj berkata, para pegawai pengendali perlu mengemukakan bukti dari perspektif sejarah daripada saksi yang memiliki kepakaran dalam bidang sejarah dan antropologi.

Tambahnya, saksi-saksi daripada pelbagai jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Statistik, dan Pejabat Ketua Menteri Sabah turut dipanggil.

Bukti juga dikumpulkan daripada individu-individu dari beberapa negara seperti Filipina, India, Pakistan dan  Indonesia, yang memiliki pelbagai jenis dokumen pengenalan diri seperti 1MM-13, permit kemasukan, dan kad pengenalan diri hijau dan biru.

Sepanjang prosiding yang berakhir pada 2013, suruhanjaya berkenaan telah memanggil 211 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menafikan penglibatannya dalam ‘Projek IC’ di Sabah sewaktu beliau berkhidmat dalam kabinet Persekutuan, termasuk ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri sehingga pemecatannya pada 1998.

Selain bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said juga menafikan penglibatannya mengeluarkan kad pengenalan diri kepada warga asing seperti yang didakwa dalam projek yang digelar ‘Projek Mahathir’.

Prosiding tersebut turut mengetengahkan testimoni daripada warga Filipina dan beberapa imigran lain, tentang pemilikan kad pengenalan diri dan juga keterlibatan dalam proses mengundi sewaktu pilihanraya.

Laporan suruhanjaya  itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong pada bulan Mei tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa akan membentangkan laporan berkenaan kepada media di Kompleks Tabung Haji, Kota Kinabalu lewat hari ini.

No comments:

Post a Comment